Home » Citra Yadim » Merakyatkan Maqasid Syariah

Merakyatkan Maqasid Syariah

KUALA LUMPUR – Anggapan bahawa prinsip Maqasid Syariah yang dipraktikkan kerajaan ketika ini hanya teori semata mata akan dikupas dan diperhalusi dalam Konvensyen Nunji 2019 di Ayer Keroh, Melaka, Sabtu ini (20 Julai).

Pengerusi Nunji, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin berkata, persoalan tersebut bakal diperincikan dan dijelaskan oleh tokoh yang mendalami mengenai prinsip dan konsep maqasid, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar.

“Beliau akan bercakap mengenai merakyatkan Maqasid Syariah, membawa pandangan dan idea selain  mencadangkan bagaimana merakyatkan maqasid itu bagi manfaat semua pihak.

“Justeru tidaklah ia sekadar menjadi teori atau formula yang hanya dibicarakan di bilik kuliah universiti atau diwacanakan oleh para intelek semata mata,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara secara langsung dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini hari ini (18 Julai).

Mengulas lanjut Zolkharnain berkata, dengan merakyatkan Maqasid Syariah, keindahannya akan dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.

Tambah beliau yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, ia merupakan sebuah topik amat penting yang akan dibahaskan dalam konvensyen pada Sabtu nanti.

Ia sekaligus jelas beliau, menolak hujah bahawa kerajaan ketika ini mengabaikan pembangunan Islam negara ini.

“Kita ingin bagitahu kerajaan sangat fokus kepada pembangunan, penghayatan, dan perkembangan dakwah Islamiah,”jelasnya.

Dalam pada itu katanya, program yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bermula jam 8 pagi itu akan memfokuskan kepada tiga isu iaitu perkauman, Maqasid Syariah dan pelampau.

Antara nama nama besar yang akan hadir selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf dan Mohd Daud ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Profesor Dr.Taufik Yap Yun Hin, pendakwah muda Ustaz Ahmad Fauwaz Dato’ Fadzil Noor serta Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Ustaz Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *