Home » Citra Yadim » Kerjasama pendidikan, isu isu wanita Mercy Mission Malaysia

Kerjasama pendidikan, isu isu wanita Mercy Mission Malaysia

PUTRAJAYA – Mercy Mission Malaysia, sebuah organisasi bebas yang mengangkat agenda pendidikan dan kebajikan berminat menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dalam beberapa bidang seperti kesukarelaan, isu isu wanita serta pendidikan.

Hasrat berkenaan dinyatakan organisasi berkenaan dalam kunjung hormatnya ke YADIM hari ini (18 Julai) yang disertai oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Muhammad Fawwaz Aminuddin, Pengurus, Mohd Nurhisyam Shamsir dan Pengurus Pembangunan Perniagaan, Ifran Tarmizi.

Kunjungan mereka telah disambut oleh Ketua Pegawai Operasi YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Pengurus Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita, Ustaz Muhammad Hafiz Musa, Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Ar-Rahmah, Shahrizal Mat, Pengarah Sekretariat Perhubungan Serantau, Norazira Jaafar, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Yuswandi Abdul Majid dan pegawai-pegawai yang lain.

Muhammad Fawwaz dalam perbincangan itu menyatakan, sebagai sebuah organisasi dakwah, Mercy Mission Malaysia berminat melaksanakan program secara kerjasama dengan YADIM terutama yang melibatkan penganjuran program berbentuk festival.

“Kami mempunyai program seperti ini yang diadakan setiap tahun dan ia adalah antara ruang kerjasama yang boleh dijalin antara kedua pihak melihat kepada pengalaman sedia ada.

“Program ini dijangka dihadiri sekitar 2,000 orang dan kebanyakannya adalah golongan profesional Muslim yang berminat menyertai pelbagai acara disediakan, bukan sahaja ceramah tetapi juga bazar dan aktiviti sampingan untuk golongan muda dan sebagainya,’’ katanya.

Mengulas lanjut mengenai Mercy Mission Malaysia beliau menjelaskan, organisasi itu ditubuhkan pada 2008 dan merupakan pencetus dakwah antarabangsa yang bertanggungjawab dalam menaikkan nama beberapa tokoh pendakwah antarabangsa seperti Mufti Ismail Menk.

Sementara itu Tuan Kamarul Arief berkata, beliau menyambut baik hasrat yang disuarakan oleh Mercy Mission Malaysia dan mencadangkan kedua-dua pihak mengadakan perbincangan lanjut bagi melihat ruang kerjasama secara lebih terperinci.

 

“Melihat kepada program yang akan dilaksanakan oleh Mercy Mission Malaysia, saya berpendapat ia adalah sesuatu yang menarik terutama ia banyak melibatkan golongan muda profesional, yang merupakan antara sasaran yang perlu didekati dalam program dakwah,’’ katanya.

Beliau juga mempelawa Mercy Mission Malaysia untuk turut sama menganggotai Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) sebuah majlis dibawah YADIM bagi tujuan penyelarasan badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Malaysia.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *