Home » Langit Terbuka » Mesir darurat 3 bulan

Mesir darurat 3 bulan

Pengganas Daesh ancam lancar serangan baharu
KAHERAH 10 April – Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan tempoh darurat selama tiga bulan selepas berlakunya dua letupan berasingan di dua buah gereja di Tanta dan Iskandariah, semalam.
Serangan yang dilakukan oleh kumpulan pengganas Daesh itu mengakibatkan 44 orang maut dan 118 cedera merupakan kejadian terbaharu selepas pengeboman di sebuah gereja di Kaherah pada bulan Disember lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan, letupan yang pertama berlaku di gereja Mar Girgis di bandar Tanta, utara Kaherah mengorbankan 27 mangsa dan 78 cedera manakala letupan kedua menyaksikan seorang pengebom bunuh diri mele­tupkan dirinya selepas dihalang memasuki Gereja St. Mark di Iskandariah, menyebabkan 17 orang maut termasuk empat anggota polis dan 40 lagi cedera.
Saluran TV swasta CBC Extra menyiarkan rakaman litar TV tertutup yang menunjukkan pintu masuk gereja terbakar dan kepingan konkrit berterbangan selepas seorang pegawai keselamatan melarang seorang lelaki mema­sukinya.
Menurut saksi, seorang pegawai polis telah dapat mengesan kehadiran pengebom bunuh diri tersebut.
Daesh dalam satu kenyataan berkata, dua pengebom bunuh diri Mesir terbabit dalam insiden tersebut dan mengancam mahu melakukan serangan baharu pada masa akan datang.
Sementara itu, Abdel Fattah mengarahkan tentera untuk mengetatkan kawalan di beberapa buah infrastruktur penting dan utama di negara itu.
Dalam perkembangan sama, media tempatan melaporkan Menteri Dalam Negeri telah memecat ketua keselamatan wilayah berkenaan dan menggantikannya dengan orang lain sejurus insiden tersebut berlaku.
Kejadian ini juga menyebabkan Israel hari ini bertindak menutup pintu sempadannya kepada rakyatnya untuk memasuki Semenanjung Sinai kerana bimbang kemungkinan bakal berlakunya serangan pengganas.
Penutupan laluan antara Eilat di Israel dan Taba di Mesir diumumkan sehari selepas biro antikeganasan Israel memberi amaran bahawa wujud ancaman serangan ke atas pelancong di semenanjung berkenaan. – AFP/DPA

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *