Home » Langit Terbuka » MNC, PKS digesa bekerjasama pasarkan produk halal ke peringkat global – TPM

MNC, PKS digesa bekerjasama pasarkan produk halal ke peringkat global – TPM

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di negara ini digesa menjalin kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memasarkan produk halal tempatan ke pasaran antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau turut mahu PKS tempatan berani merebut peluang bekerjasama dengan MNC untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.

“Saya cadangkan syarikat tempatan supaya ‘ketuk pintu’ syarikat multinasional untuk memasarkan produk kita ke peringkat antarabangsa,” katanya semasa sesi Dialog Perdana Industri Halal Bersama Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini.

Usaha itu adalah selari dengan aspirasi kerajaan yang mahu industri halal negara terus berkembang dan menerajui pengeluaran produk serta penyediaan perkhidmatan halal, katanya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan komited untuk memajukan industri halal negara supaya ia terus berada di barisan hadapan dari segi pengeluaran produk dan penyediaan perkhidmatan halal dunia.

Beliau berkata, industri halal dilihat sebagai strategi serampang dua mata, iaitu selain menyumbang kepada ekonomi negara, ia juga mempunyai potensi eksport yang besar.

Berdasarkan potensi industri berkenaan, katanya, kerajaan menyasarkan PKS yang mengeksport produk halal akan meningkat kepada 1,600 perusahaan menjelang 2020 berbanding 1,257 PKS pada Disember tahun lepas.

Katanya, industri berkenaan dijangka menggajikan 330,000 pekerja menjelang 2020 berbanding 248,508 pekerja sehingga akhir 2016.

Sementara itu, bagi memastikan industri berkenaan sentiasa rancak dengan kemasukan peserta baharu, Ahmad Zahid menyeru supaya institusi pembiayaan tidak hanya melihat kepada risiko, dalam memberi pinjaman kepada syarikat yang mengeluarkan produk halal.

Institusi berkenaan juga perlu mempertimbangkan potensi yang dimiliki PKS industri halal, katanya.

Dialog yang berlangsung selama setengah hari itu dihadiri kira-kira 1,000 peserta yang mewakili pihak berkepentingan dalam industri halal seperti sektor swasta dan awam, badan bukan kerajaan serta ahli akademik.

Sesi itu bertujuan mengumpulkan maklum balas, cadangan dan aspirasi daripada pihak berkepentingan mengenai hala tuju pembangunan industri halal negara ke peringkat lebih tinggi.- BERNAMA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *