Home » Langit Terbuka » Mohd Amin ‘kepala’ Daish Nusantara

Mohd Amin ‘kepala’ Daish Nusantara

Mohd Amin - Foto NSTP

Kuala Lumpur: Seorang lagi rakyat Malaysia yang juga bekas anggota Darul Islam Sabah (DIS) Mohd Amin Baco, 32, bakal mengetuai Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) sekali gus menjadi Khalifah Daish Nusantara selepas kematian Isnilon Hapilon dan Dr Mahmud Ahmad ketika pertempuran di Marawi, Selatan Filipina tahun lalu.

Mohd Amin yang berkemahiran menghasilkan bom buatan sendiri dan ketua operasi cabang utama ASG iaitu Batalion Ansar al-Shariah.

Profesor Pelawat Institut Kajian Strategik dan Keamanan Global Ibn Khaldun, Turki, Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, Mohd Amin individu paling sesuai mengetuai ASG selepas kematian Isnilon dan Mahmud.

“Ada dua nama calon komander kumpulan militan itu iaitu Yassir Igasan yang juga ketua cabang lain dalam ASG serta Mohd Amin.

“Bagaimanapun, sumber memaklumkan Mohd Amin adalah ketua baru ASG dan dakwaan ini diperkuatkan lagi dengan pengakuan anggota kumpulan warga Indonesia yang ditahan Disember lalu.

“Hasil soal siasatan daripada pihak polis, lelaki berkenaan mengakui Mohd Amin ketua baru mereka dan semua susunan operasi termasuk rancangan serangan dibuat rakyat Malaysia berkenaan,” katanya, semalam.

Mohd Mizan berkata, ketika Dr Mahmud mengetuai ASG dalam tempoh masa singkat, Mohd Amin diberikan tanggungjawab besar iaitu mengetuai operasi kumpulan militan terbabit.

Katanya, Mohd Amin juga antara peranan penting ketika menyertai DIS dalam menyeludup militan Indonesia ke selatan Filipina bagi menjalani latihan selain kumpulan militan yang menyeludup senjata ke Indonesia.

“Jadi, tidak mustahil Mohd Amin diangkat menjadi ketua selepas kematian Mahmud. Selain itu, dia juga berpengetahuan luas sama ada dalam operasi gerakan gerila termasuk berkemahiran membuat bom IED.

“Apabila dilihat faktor lain pula, Mohd Amin menantu bekas ketua ASG iaitu Hatib Sawadjaan dan sudah tentu ada pengaruh besar dalam gerakan militan kumpulan itu,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman Mohd Amin juga tidak boleh diragui kerana dia terbabit dalam gerakan keganasan seawal usia 18 tahun ketika menyertai DIS sebelum terbabit secara tidak langsung dengan Darul Islam Indonesia (DII).

Menurutnya, jika perlantikan itu menjadi kenyataan ia memberi kesan besar iaitu keterbabitan rakyat Malaysia dalam gerakan militan sehingga menjadi kepimpinan kanan sesebuah organisasi pengganas.

Sebelum ini, pihak berkuasa Filipina memburu Mohd Amin selepas pertempuran di Marawi, Selatan Filipina kerana mempercayai lelaki berkenaan bakal mengetuai kumpulan itu.

-HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *