Home » Langit Terbuka » Minta Maaf Kerana Tweet Anti Israel, Model Berhijab Pertama L’Oreal Dikecam

Minta Maaf Kerana Tweet Anti Israel, Model Berhijab Pertama L’Oreal Dikecam

Tindakan Amena Khan meminta maaf dan menarik diri menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen, terutamanya mereka yang beragama Islam

MODEL berhijab pertama jenama kosmetik L’Oreal, Amena Khan, memuat naik satu permohonan maaf berkenaan satu tweet yang ditulis pada tahun 2014, dan bertindak menarik diri dari kempen bersama jenama terkemuka dunia itu.

Dalam permohonan maaf itu, Amena berkata dia kesal kerana menulis tweet berbaur anti-Israel itu kerana ia telah ‘melukakan hati banyak pihak’.

Ujar Amena, dia tidak pernah menyokong diskriminasi terhadap mana-mana pihak dan menghargai kepelbagaian masyarakat dunia.

“Saya telah memadam tweet itu kerana ia bertentangan dengan falsafah keamanan yang saya pegang selama ini.

“Keputusan saya untuk menarik diri daripada menyertai kempen L’Oreal adalah kerana tweet tersebut telah menyebabkan matlamat positif yang dibawa kempen berkenaan tercalar,” tulisnya.

Tindakan Amena itu bagaimanapun menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen, terutamanya mereka yang beragama Islam.

Seorang pengikut Amena, @basmaaly meninggalkan komen berbunyi, “Saya kecewa anda meminta maaf. Tiada sebab untuk meminta maaf selepas apa yang dilakukan tentera Zionis terhadap Palestin.”

Pengguna @shueb87 pula berpendapat, Amena lebih mementingkan pendapat manusia daripada kebenaran untuk umat Islam.

“Anda hanya mengejar keduniaan,” tulisnya.

Manakala seorang lagi pengikut, @aisha.davood membandingkan pendirian Amena dengan seorang lagi selebriti dan peragawati terkemuka, Bella Hadid.

“Bella mempunyai lebih ramai pengikut tetapi dia tetap dengan pendiriannya tentang Israel dan tidak merasa bersalah kerana dia tahu apa yang diperkatakan adalah kebenaran,” katanya.

L’Oreal dalam satu kenyataan menerima penarikan diri Amena daripada menyertai kempen terbaharu mereka itu.

“Kami menghormati Amena kerana dia sanggup meminta maaf dan menerima keputusannya untuk menarik diri,” kenyataan itu menyebut. – ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *