Home » Citra Yadim » Mohd Fadhil Yahya pemenang Anugerah Perdana Daie Muda YADIM

Mohd Fadhil Yahya pemenang Anugerah Perdana Daie Muda YADIM

CYBERJAYA – Daie Muda Mohd Fadhil Yahya dinobatkan selaku pemenang Anugerah Perdana Daie Muda YADIM dalam pentas akhir yang diadakan di sini pada 5 Mac.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiyah dari Universiti Al Azhar ini yang bakal menimang cahaya matanya yang kedua,  membawa pulang piala iringan, wang tunai RM15,000, tajaan mengerjakan umrah bernilai, produk kesihatan, Rehal Diraja Emas serta lima gram bar emas.

Hadiah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Haji Idris Ahmad yang juga menyempurnakan majlis ini.

Hadir sama ke majlis ini ialah Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Dalam pada itu Fadhil juga merangkul Anugerah Daie Muda Murabbi dalam pentas akhir ini.

Para pemenang lain ialah Muhammad Aiman Asyraf Aswari (Anugerah Imam Muda), Nur Ayuni Binti Mohd Norudin (Anugerah Ikon Muslimah Muda) dan Nur Izzati Elya Binti Alfian (Anugerah Tekno Daie).

Dua lagi pemenang ialah Muhammad Ilman Hakim Bin Zainal Abidin (Anugerah Aktivis Daie Muda) dan Irham Wazini Binti Muhamad Zaki (Anugerah Karyawan Daie Muda) .

Para pemenang kategori membawa pulang piala iringan, wang tunai RM5,000, produk kesihatan, Rehal Diraja Perak serta satu gram bar emas.

Dalam pada itu, Datuk Haji Idris dalam ucapannya berkata, Daie Muda YADIM yang kini menjadi tumpuan, perlu menunjukkan akhlak yang terpuji serta membimbing masyarakat ke arah yang lebih baik.

Pada masa akan datang katanya lagi, beliau amat berharap YADIM akan terus meneroka program-program pembangunan dakwah kepada golongan muda termasuk penglibatan di dalam badan bukan kerajaan Islam yang menjadi teras gerak kerja YADIM.

Pada majlis ini, Datuk Haji Idris turut berkesempatan melancarkan Daie Komuniti YADIM.

Pentas akhir ini diadakan di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia dan mendapat tajaan daripada Halagel (M) Sdn Berhad, Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Ko-Makmur),syarikat D’Rehal dan Yayasan Islam Darul Ehsan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *