Home » Langit Terbuka » Muat turun permainan video ‘Fight of Gods’ dihalang serta-merta

Muat turun permainan video ‘Fight of Gods’ dihalang serta-merta

PUTRAJAYA,  7 Sept. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meminta penyedia platform permainan video “Fight of Gods” untuk menghalang pautan muat turunnya kepada pengguna Malaysia dalam tempoh 24 jam, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

“Tindakan susulan akan diambil sekiranya tidak dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini berhubung permainan video  “Fight of Gods” yang menampilkan watak Nabi Isa (Jesus Christ) dan Guatama Buddha itu.

Beliau menyifatkan permainan video  yang dibangunkan oleh sebuah studio di Taiwan itu mengaibkan agama dan ketua-ketua agama serta mengancam kesepakatan dan keharmonian antara kaum.

“Langkah serta-merta perlu diambil demi melindungi kemaslahatan masyarakat,” katanya.

Salleh berkata mencipta dan menyebarkan kandungan jelik merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan MCMC akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk mengekang jenayah itu.

“Rakyat Malaysia amat menghormati sensitiviti budaya dan agama, dan penjualan serta pengedaran permainan yang tidak sensitif ini hendaklah dihentikan serta-merta,” katanya.

Salleh turut mengingatkan pengguna supaya membuat pilihan bijak apabila memilih kandungan untuk diakses.- Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *