Home » Langit Terbuka » Muhammad antara nama paling popular

Muhammad antara nama paling popular

Mengatasi nama Oliver di London, West Midlands

LONDON 3 Sept. – Nama Muhammad me­rupakan antara nama paling popular untuk kanak-kanak lelaki di England dan Wales namun nama itu tidak menduduki tempat pertama dalam senarai rasmi kerana mempunyai pelbagai ejaan.

Menurut laporan Mail Online, Pejabat Statistik Kebangsaan menyenaraikan sebanyak 7,361 bayi yang dilahirkan tahun lalu dinamakan Muhammad, Mohammed, Muhammed, Mohammad atau Mohamed.

Jika kesemua itu diambil kira, nama berkenaan akan ditempatkan dalam carta pertama sebagai pilihan menamakan kanak-kanak lelaki.

Bagaimanapun, nama Oliver disenaraikan di tempat pertama paling popular dalam kalangan bayi lelaki dengan jumlah 6,941 manakala nama bayi perem­puan yang paling digemari adalah Amelia.

Secara rasmi terdapat 14 ejaan Muhammad dan kepelbagaian ejaan bergantung kepada latar belakang keluarga sama ada dari negara yang menggunakan bahasa Arab dan perbezaan sebutan.

Namun yang paling popular dalam senarai itu adalah ‘Muhammad’ yang menduduki tempat ke-12 dengan sejumlah 3,730 bayi lelaki dinamakan dengan nama berkenaan.

Oliver pula merupakan nama paling popular untuk kanak-kanak lelaki di semua wilayah England kecuali London dan West Midlands yang menyenaraikan nama Muhammad sebagai paling popular.

Ini merupakan kali pertama nama Muhammad disenaraikan di tempat pertama di kedua-dua wilayah itu dan merampas kedudukan Oliver sebagai nama paling popular di West Midlands pada 2014.

Terdapat juga nama-nama aneh yang diambil daripada watak-watak filem Lord of The Rings dan Game of Thrones manakala 15 bayi lelaki dinamakan Corbyn sempena nama pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn.

Nama-nama keluarga diraja seperti George, Harry dan William turut tersenarai dalam 10 nama kanak-kanak lelaki popular manakala nama kanak-kanak perempuan, Charlotte kurang popular dan menduduki tangga ke-25 walaupun warga Great Britain menyayangi Puteri Charlotte yang merupakan anak ke­dua pasangan diraja William dan Cat­herine Middleton.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *