Home » Langit Terbuka » Klinik Halal Malaysia tingkatkan kesedaran pengusaha tempatan

Klinik Halal Malaysia tingkatkan kesedaran pengusaha tempatan

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Klinik Halal Malaysia anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diharap dapat mening­katkan tahap kesedaran tentang kekeliruan konsep halal serta membetulkan persepsi ma­sya­rakat terutama dalam kalangan pengguna dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini.

Jakim dalam satu kenyataan berkata, ramai yang menganggap penggunaan konsep halal hanya untuk pengusaha dan pengguna Muslim serta dari segi makanan dan minuman sahaja sedangkan ia lebih menyeluruh.

“Halal bukan dikhususkan kepada pengusaha dan pengguna Muslim ataupun makanan dan minuman sahaja tetapi industri halal sebenarnya me­rangkumi pelbagai sektor seper­ti farmaseutikal, kosmetik, lo­gistik, perbankan dan pembungkusan makanan.

“Oleh itu, pendedahan tentang industri halal serta sistem pensijilan halal Malaysia kepada para usahawan diharap dapat menjadi nadi penggerak kepada pengusaha untuk te­rus mengeluarkan produk dan servis halal pada masa akan datang,” katanya.

Jakim semalam menganjurkan Klinik Halal Malaysia sebagai salah satu program sempena ekspo halal terbesar di negara ini iaitu Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2016 yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Shapers Malaysia Sdn. Bhd.

Halfest 2016 berlangsung selama lima hari bermula 31 Ogos lalu hingga 4 September di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan.

Antara tujuan ekspo tersebut ialah meningkatkan kedudukan ekonomi usahawan-usahawan Halal Malaysia, menyediakan platform promosi dan penje­namaan kepada syarikat dan usahawan dari industri halal tempatan.

Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengeluar dan pengilang me­ngenai kepentingan sijil halal dan meningkatkan pengetahu­an pasaran semasa dan corak minda pengguna selain mene­rap­kan budaya halal dalam ka­la­ngan rakyat Malaysia.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *