Home » Langit Terbuka » Muhyiddin dilantik PM ke-8

Muhyiddin dilantik PM ke-8

Perdana Menteri ke lapan Malaysia, Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. - Foto FB

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini (29 Februari) berkenan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Dalam kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan diadakan esok.

“Istana Negara hari ini menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

“Proses ini lanjutan titah Yang di-Pertuan Agong di mana ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang bebas mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

“Selepas mendapat representasi semua, pada hemat Seri Paduka, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat ialah Tan Sri Mahiadddin (Muhyiddin) Md Yassin,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, perlantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri itu dibuat selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Proses seterusnya ialah majlis angkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada jam 10.30 pagi esok,” katanya.

“Seri Paduka bertitah bahawa proses perlantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengahkan kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.

“Seri Paduka bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, baginda turut menzahir penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat, khususnya agensi kerajaan, keselamatan dan media. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *