Home » Langit Terbuka » MUIP sedia RM5.25 juta untuk 19,405 pemohon BPZ

MUIP sedia RM5.25 juta untuk 19,405 pemohon BPZ

Permohonan Bantuan Prihatin Zakat MUIP kini dilanjutkan sehingga 28 Jun ini. - Foto Muip

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) meluluskan permohonan Bantuan Prihatin Zakat (BPZ) sebanyak RM5.25 juta kepada 19,405 pemohon yang layak.

Bantuan sekali bayar yang kali pertama diperkenalkan itu memberi peluang kepada individu yang layak menerima antara RM200 hingga RM300.

Ketua Unit Pembiayaan Zakat Muip, Mohd Nasrul Hakim Mat Daut berkata, Muip membuka permohonan BPZ selama dua minggu (8-14 Jun) sebelum ini dan permohonan diterima begitu menggalakkan.

Katanya, disebabkan masih ramai lagi mereka yang tidak sempat membuat permohonan secara dalam talian, Muip mengambil keputusan untuk melanjutkan tarikh tutup permohonan hingga 28 Jun ini.

“Skim kali pertama diperkenalkan ini adalah bukti keprihatinan Muip kepada golongan terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan memerlukan bantuan.

“Ia diharap dapat meringankan beban yang ditanggung terutama bagi mereka yang tidak dapat bekerja kerana ditamatkan perkhidmatan termasuk peraturan melarang melakukan kerja di sektor tertentu,” katanya dihubungi, di sini pada 20 Jun.

Beliau berkata, antara syarat permohonan BPZ ialah beragama Islam, rakyat Malaysia, berumur 21 tahun ke atas, pemastautin, bukan penjawat awam dan tiada pendapatan tetap.

Mohd Nasrul Hakim berkata, Muip berharap mereka yang layak dapat merebut peluang kedua disediakan sebelum tarikh tutup pada 28 Jun ini.

“Saya berharap lebih ramai individu yang layak di negeri ini tidak melepaskan peluang ditawarkan, bayaran akan dibuat terus ke akaun pemohon yang diluluskan dalam masa terdekat.

“Urusan permohonan adalah dalam talian dengan melayari https://easnaf.muip.gov.my atau hubungi talian: 011-3016 3882 (WhatsApp),” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *