Home » Langit Terbuka » Mujahid lancar Minggu Jawi esok

Mujahid lancar Minggu Jawi esok

Mujahid Yusuf ketika berucap dalam 1st International Forum on Islamic Thought.

PUTRAJAYA – Satu program memperkasakan penggunaan tulisan Jawi akan dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf esok (4 September) di Kompleks Islam Putrajaya di sini.

Dalam program yang dikenali sebagai Minggu Jawi itu, kakitangan agensi agama Islam Persekutuan di bawah beliau akan memakai tanda nama Jawi sebagai tanda sokongan usaha memperkasakan tulisan berkenaan pada setiap hari Jumaat.

“Malah jika dilihat dalam banner dan poster yang kami gunakan juga, sekurang kurangnya 25 peratus akan ada tulisan Jawi,” jelas beliau selepas perasmian program Forum Antarabangsa Pemikiran Islam Kali Pertama  (1st International Forum on Islamic Thought) di sini hari ini.

Hadir sama ke program itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Pemenang Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441H Peringkat Antarabangsa, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh, serta Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Dalam pada itu, Mujahid berkata pihaknya turut amat menyokong langkah pihak kerajaan negeri Johor yang akan melaksanakan penggunaan tulisan Jawi untuk semua urusan melibatkan agama Islam.

“Sokong 101%, itu kuasa kerajaan negeri , mereka boleh buat apa apa keputusan berkaitan itu, dan saya amat menyokong langkah tersebut,”ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi pada 1 September dilaporkan berkata, pelaksanaan berkuatkuasa 1 Januari tahun depan itu akan melibatkan kesemua anak syarikat di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor  dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Menurut beliau, pelaksanaan itu juga termasuklah di peringkat pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks ucapan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *