Home » Langit Terbuka » Mujahid nafi kaitkan Xinjiang, Uighur dan berita palsu dalam ucapan di China

Mujahid nafi kaitkan Xinjiang, Uighur dan berita palsu dalam ucapan di China

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika melawat China baru baru ini. - Foto FB

PETALING JAYA – Pejabat Mujahid Yusof Rawa hari ini (1 Jul) menafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu pernah menggunakan perkataan Xinjiang atau etnik Uighur bersama perkataan “berita palsu” dalam teks ucapannya ketika melawat sebuah universiti di China minggu lalu.

Katanya, Mujahid hanya menggunakan perkataan “berita palsu” untuk memberi gambaran ia mampu menjejaskan hubungan antara negara dan masyarakat.

Beliau menyangkal laporan FMT bertajuk “Mujahid di Beijing berucap tentang ‘berita palsu’ mengenai Xinjiang” yang disiarkan pada 28 Jun lalu.

“Berita palsu di China mengenai umat Islam ditindas boleh mencetuskan gelombang simpati pada orang yang ditindas dan menjejaskan hubungan.

“Sementara berita palsu tentang penganut Hindu diperlakukan secara tidak adil oleh orang Islam di Malaysia contohnya boleh mencetuskan kebencian terhadap orang Islam minoriti di India,” lapor FMT memetik ucapan Mujahid di Universiti Pengajian Luar Beijing pada 27 Jun lalu.

Mujahid dalam kenyataan media yang diedarkan kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini berkata, beliau tidak pernah menyebut perkataan Xinjiang atau etnik Uighur dalam teks ucapan itu.

“Untuk makluman, umat Islam di China bukan saja terdiri daripada etnik Uighur, tetapi terdapat beberapa etnik lain antaranya Hul, Kazakh, Uzbeks dan Tajik,” katanya sambil menyifatkan laporan FMT tidak tepat dan tidak bertanggungjawab.

Kenyataan itu menyusul kritikan terhadap Mujahid menggunakan istilah “pusat latihan” bagi merujuk sebuah kem kontroversi untuk “mendidik semula” penentang beragama Islam di wilayah Xinjiang.

“Pusat ini menjalankan aktiviti latihan perindustrian dengan pelbagai kemahiran seperti menjahit, kelas perundangan, seni, gubahan bunga dan sebagainya,” tulisnya di Facebook yang turut disertakan gambar lawatannya ke kem tahanan Uighur.

Pengguna Facebook mengkritik Mujahid mengulangi propaganda China yang menggambarkan kem tahanan di Xinjiang sebagai “pusat latihan”.

Beijing pernah menafikan pendedahan kem tahanan itu, tetapi kemudian berkata ia adalah “pusat vokasional” untuk “menyelamatkan” orang daripada pengaruh pelampau.

Badan hak asasi sekian lama menuduh China bertindak keras terhadap penentangan di Xinjiang dengan alasan melawan ekstremisme umat Islam.

Sementara itu, pejabat Mujahid berkata, lawatan menteri itu diluluskan Kabinet dan beliau ditemani Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta pegawai Kementerian Luar.

“Sepanjang (lawatan) di China, menteri mendapat khidmat nasihat Kementerian Luar dan setakat ini tiada sebarang tindakan mahupun kenyataan menteri melanggar mana-mana panduan yang telah diberikan.” – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *