Home » Langit Terbuka » Mukhayam: NGO komuniti hijrah LGBT pertahan JAKIM

Mukhayam: NGO komuniti hijrah LGBT pertahan JAKIM

Mukhayyam JAKIM adalah program yang cenderung kepada pendidikan agama, malah penyertaannya adalah bersifat sukarela. - Foto MMKTT

KUALA LUMPUR – Beberapa kumpulan yang mewakili golongan LGBT tampil mempertahankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), khususnya program Mukhayyam kendalian agensi itu yang bertujuan membimbing komuniti berkenaan.

Kumpulan-kumpulan berkenaan menyanggah fitnah yang mendakwa Mukhayyam sebagai program bersifat paksaan dalam mengembalikan mereka kepada fitrah asal.

“Tidak pernah sama sekali individu yang menyertai program Mukhayyam diberi tekanan, paksaan dan diberi terapi yang tidak sepatutnya.”

Malah mereka menyanggah pemilik akaun Twitter, Nicole Fong yang membuat pelbagai dakwaan tidak berasas tentang program Mukhayyam.

Antara tuduhan wanita itu termasuklah menyamakan program Mukhayyam dengan amalan terapi pertukaran dari barat seperti terapi menggunakan kejutan elektrik, pembedahan, kahwin secara paksa dan rogol secara korektif.

Satu laporan polis juga dibuat JAKIM ke atas pemilik akaun Twitter itu. Turut berbuat demikian, empat daripada enam kumpulan yang sama-sama mempertahan Jabatan itu, iaitu Usrah Iqrak, Islah Movement, Pelangi Hijrah dan Republique Network.

Sementara itu Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) yang menaungi kumpulan-kumpulan terbabit turut menekankan bahawa Mukhayyam adalah program yang cenderung kepada pendidikan agama, malah penyertaannya adalah bersifat sukarela.

“Kami percaya golongan LGBT juga harus diberi kesedaran, pendidikan, dan ada hak untuk berubah berdasarkan ajaran agama Islam.”

Sementara itu ketika dihubungi AlHijrah Online, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM,Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, Mukhayyam merupakan program dakwah yang menerapkan nilai bimbingan dan kasih sayang.

“Alhamdulillah. Mukhayyam menggunakan pendekatan dakwah kasih sayang dan bimbingan.”

Malah katanya, ramai daripada peserta terdahulu mengakui banyak menerima manfaat daripada program Mukhayyam. – AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *