Menggunakan platform Multaqa Perpaduan Ummah anjuran Maj­lis Dakwah Malaysia (MDN) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), semua peserta yang diketuai oleh Pengerusi MDN, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid mengeluarkan 1001 pendapat serta pandangan untuk mendapatkan jalan terbaik menyelesaikan masalah perpecahan umat Islam di negara ini.

Tanpa mengira ideologi politik, masing-masing berusaha sedaya upaya memberikan pandangan seikhlas mungkin berasaskan tuntutan syarak seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah dalam al-Quran serta hadis.

Hasrat mereka hanya mahu perpaduan ummah di Malaysia dikembalikan agar kelangsung­an umat Islam di negara ini terus terjamin tanpa digugat oleh mana-mana pihak.

Siapa sangka multaqa yang julung-julung kali diadakan itu berjaya menghimpunkan beberapa pemimpin UMNO dan Pas antaranya Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Khairuddin Takiri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr. Md. Yusman Yusof serta beberapa bekas pemimpin UMNO.

Semua ahli politik itu turut memberi pandangan yang akhirnya menjuruskan kepada usaha serta tindakan ke arah menyatukan ummah di negara ini. Khairuddin contohnya memberi satu mesej yang cukup jelas iaitu Pas sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO demi maslahah umat Islam.

Malah beliau mengharapkan multaqa semalam menyediakan lorong yang membolehkan kerjasama dibentuk demi kebajikan rakyat dan umat.

Annuar pula melahirkan harapan agar para peserta multaqa yang umpama ‘doktor’ dapat memberikan ubat yang sesuai untuk mengubati sakit perpecahan ini khususnya dalam kalangan orang politik Islam.

Paling penting ujar Annuar, orang politik perlu patuh dengan ubat yang diberikan oleh para doktor terbabit supaya mereka akhirnya sembuh. Multaqa turut mengakui isu politik adalah penyebab utama kepada perpecahan ummah di negara ini.

Meskipun ada peserta yang me­nya­takan bahawa perpecahan juga berlaku dalam bidang pendidikan dan ekonomi namun secara reali­tinya bidang politik adalah punca utama berlakunya perpecahan. Cuba lihat di luar sana bagaimana para penyokong walaupun sesama orang Melayu dan Islam sanggup bermusuhan antara satu sama lain kerana terlalu taksub kepada parti dan pemimpin masing-masing.

Mahmood Zuhdi yang mengulas tentang isu itu semasa sidang akhbar mengakui perkara tersebut. Bagaimanapun beliau memaklumkan bahawa multaqa yang diadakan itu memberikan satu sinar baharu kepada umat Islam di Malaysia.

“Sebelum kita menganjurkan multaqa ini kita telah mempunyai satu kumpulan WhatsApp yang dianggotai oleh individu daripada pelbagai latar belakang. Sepanjang perbincangan tiada satu sindiran pun yang keluar daripada mana-mana individu jika kita menyentuh soal perpaduan,” ujarnya.

Mahmood Zuhdi berkata, semua pihak dalam kumpulan itu memberikan pandangan serta input yang amat positif.

Dalam perkembangan sama penulis cukup tertarik dengan pandangan Pengarah Pusat Transformasi Insan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Datuk Ellias Zakaria yang mahu pemimpin-pemimpin parti Melayu Islam sentiasa bertemu bagi membincangkan perpaduan ummah.

Paling penting katanya, setiap pemimpin perlu hidup dalam ekosistem takut kepada Allah kerana suasana tersebut boleh membataskan mereka daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan Yang Maha Esa termasuk perpecahan.

Justeru ujarnya, setiap pemimpin politik Melayu perlu beriltizam untuk duduk semeja bagi mengadakan muzakarah di samping bermuhasabah serta bermaafan. Rentetan itu juga usaha untuk memesrakan UMNO dan Pas perlu direalisasikan atas nama perpaduan ummah.

“Seburuk-buruk UMNO bukan semuanya buruk dan sebaik-baik Pas bukan semuanya baik,” kata ahli akademik berkenaan.

Penulis juga tertarik dengan pandangan beberapa peserta lain yang mengingatkan peri penting­nya mempertahankan kuasa Mela­yu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang. Mereka me­rumuskan kepentingan Melayu dan Islam akan terancam sekiranya parti politik Melayu kecundang.

Kebimbangan mereka itu sejajar dengan kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada sesi pagi bahawa sekiranya pakatan pembangkang menang pada PRU-14, parti dominan yang akan meme­rintah adalah DAP, bukan Pas atau PKR.

Sementara itu satu resolusi telah dikeluarkan oleh multaqa tersebut pada sesi petang yang mengambil perhatian iaitu;

– Telah berlaku perpecahan yang sangat ketara dalam kalangan umat Islam di negara ini baik dari segi akidah mahupun politik.

– Bahawa perpecahan tersebut bukan sahaja berlaku di antara kelompok yang sedia ada secara tradisional tetapi melarat kepada perpecahan dalaman kelompok-kelompok itu sendiri.

– Bahawa perpecahan tersebut telah melampaui batas yang dibenarkan oleh Islam iaitu, tuduh-menuduh dari segi akidah sehingga ke peringkat kafir-mengkafir antara satu sama lain dan serang menye­rang dari segi politik sehingga kepada peringkat fitnah-menfitnah antara satu sama lain.

– Bahawa perpecahan berkenaan telah mengancam kelangsungan umat Islam sendiri di negara ini baik dari segi pegangan agama mahu un dari segi politik.

Sehubungan itu multaqa telah mengambil pendirian untuk menya­takan dukacita terhadap apa yang berlaku; menggambarkan kebimbangan tentang apa yang mungkin berlaku dan menegaskan komitmen untuk sama-sama mencari jalan ke arah penyelesaian yang adil serta saksama.

Multaqa turut bersetuju untuk membentuk Sekretariat Khas yang dianggotai oleh para ilmuan dan tokoh-tokoh berwibawa merentasi sempadan ideologi politik serta kefahaman agama sempit bagi tujuan-tujuan berikut;

– Menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk memohon campur tangan atas sifat sebagai payung bagi agama Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

– Mengadakan kunjungan hormat kepada tokoh-tokoh utama parti politik Islam, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri bagi membuka ruang ke arah mencapai pendekatan sesuai sebagai jalan penyelesaian terhadap perpecahan berlaku.

– Menganjurkan dialog secara meluas antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan entiti masyarakat bagi mencapai kesepakatan dalam usaha memahami pandangan dan pendirian masing-ma­sing serta mencari jalan penyelesaian ke arah perpaduan.

– Menemui masyarakat umum atas sifat sebagai akar umbi ummah bagi mendapat sokongan dalam menyelesaikan kegawatan perpaduan yang sedang dan mencegah kemungkinan buruk yang mungkin berlaku.

– Membentuk rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak khusus­nya pihak media dengan tujuan untuk melaksanakan tugas suci amar makruf nahi munkar sepertimana anjuran agama Islam.

– Membentuk multaqa golongan muda di bawah 40 tahun.

– Memanfaatkan sosial media massa kini seperti WhatsApp, Facebook, Instagram dan sebagainya untuk menyemarakkan kepentingan perpaduan ummah.-UTUSAN