Home » Persuasif » Mulut masih boleh dikawal tetapi hati..?

Mulut masih boleh dikawal tetapi hati..?

sumber

Hati itu dikatakan raja kepada segala perbuatan kita.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati.” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Hatilah yang memimpin segala tindakan kita. Sekiranya sekeping hati itu dibentuk menjadi hati yang menjurus kepada kebaikan, maka baiklah ia. Sebaliknya, andai hati itu lebih banyak didera oleh sifat negatif, maka hiduplah kita dengan mengadili orang lain dengan pandangan segalanya tidak betul dan yang betul hanyalah kita.

Pepatah Melayu menyebut, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Ya, kerana mulut melontarkan apa yang ada di fikiran. Jadi, mulut menjadi wakil kepada apa yang di dalam hati kita. Kadang kala, selalu berlalu bukan? Kita tidak berpuas hati dengan seseorang. Misalnya ketika sedang memandu dalam kesesakan jalan raya, ada sebuah kereta tiba-tiba  memintas kereta kita tanpa memberi apa-apa isyarat lampu. Secara spontan kita akan marah dan keluarkan perkataan yang tidak menyenangkan. Sebenarnya hati kita yang marah. Dan marah yang di dalam hati itulah yang menghantar mesej.

Sebelum melontarkan sesuatu perkataan, kita masih boleh mengawal diri kita sama ada mahu meneruskannya atau mendiamkan diri sahaja. Namun, hati pasti masih berbisik-bisik dengan rasa tidak puas hati. Benar, bukan? Kita tidak mampu menahan hati daripada berkata-kata.

Apabila menyebut tentang menunaikan haji ke Makkah, pasti akan berasa gusar kerana takut tidak mampu mengawal hati daripada mengutuk atau mengata orang lain. Manalah tahu, dalam lautan manusia itu, hati kita mengutuk orang pengotor, kedekut, pemalas atau bersungut dengan cuaca dan ketidakselesaan dan sebagainya.

Sebenarnya susah bukan menjaga hati? Hati yang Allah berikan ini sering sahaja turun naik. Adakala kita sedar kita telah banyak melakukan kesilapan. Seringkali juga kita berusaha menjadi seorang yang baik tetapi selang beberapa ketika kita lupa segala niat kita itu. Dan tanpa sedar kita meneruskan kesilapan yang sama. Kerana apa? Kerana hati kita tidak istiqamah.

Penjagaan mulut boleh dilakukan secara fizikal iaitu dengan memberus gigi, berkumur, memakai gincu atau pelembap bibir bagi wanita. Tetapi bagaimana pula cara menjaga hati? Hakikatnya ramai di antara kita yang menyedari keadaan ini dan mahu memelihara hati kerana hati yang baik akan terpancar pada wajahnya, Namun, kadang kala kita tersasar dek terlalu mengikut emosi dan perasaan.

Islam sering mengajar supaya umatnya memperbanyakkan zikir khususnya dalam soal mendidik hati menjadi seorang yang penyabar, berhikmah, berfikiran positif, menanam azam untuk melakukan kebaikan dan segala sifat mahmudah. Oleh itu, rawatan terbaik untuk hati adalah dengan memperbanyakkan zikir. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.” (Al-Ra’d 13:28).

Editor.

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *