Hari ini tidak seperti dahulu. Pengamalan ajaran Islam sudah semakin meluas. Baik sekecil-kecil perkara seperti rancangan keagamaan di kaca televisyen sehinggalah pelaksanaan perundangan Islam di peringkat pentadbiran negara. Namun begitu, semuanya masih tidak terhenti setakat itu sahaja.
Walau bagaimanapun, di sebalik semua itu tanpa kita sedari, umat Islam sendiri memiliki ‘gunting dalam lipatan’. Tanpa kita sedari juga, mereka ini telah menconteng arang di ‘muka’ agama Islam. Sedikit demi sedikit sehingga implikasinya Islam mula kembali dipandang lekeh sepertimana yang sudah terjadi dahulu. Siapakah mereka?
Mereka ini boleh dikatakan ‘duta Islam yang tidak bertauliah’. Apabila disebut tentang duta, sudah tentu terbayang di fikiran kita mereka ini bertugas di luar negara membawa nama negara mereka. Kalau duta Malaysia, mereka semua bertangungjawab untuk menjaga nama baik negara Malaysia di mana-mana negara yang ditugaskan oleh mereka. Bukan itu sahaja, tugasan mereka untuk memelihara hubungan diplomatik yang terjalin antara kedua-dua buah negara.
Ya, begitulah juga dengan Islam. Siapa yang tidak kenal dengan seorang sahabat Nabi yang mulia bahkan seorang pemuda dan termasuk dalam kalangan orang yang terawal memeluk Islam, Mus’ab bin Umair . Beliau telah dipertanggungjawabkan oleh Nabi Muhammad untuk menjadi duta Baginda ke kota Yathrib (kemudiannya Madinah). Beliaulah duta Islam yang pertama. Tujuannya untuk memperkenalkan agama Islam kepada penduduknya yang pada ketika itu 12 orang sahaja yang sudah Muslim selepas peristiwa Perjanjian Aqabah.
Mengapakah Mus’ab dipilih? Adakah para sahabat yang lebih ‘senior’ tidak layak? Bukan begitu. Justeru, itulah pilihan yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW dan pilihan tersebut ternyata tidak salah. Imam al-Dzahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ meriwayatkan kata-kata al-Barra’ bin Azib. Katanya, Orang yang mula-mula datang kepada kami dalam kalangan Muhajirin ialah Mus’ab bin Umair. Kemudian, kami bertanya kepadanya, ‘Apakah yang sedang dilakukan oleh Rasulullah Beliau jawab, ‘Baginda masih lagi berada di Makkah manakala para sahabatnya akan menyusul nanti.
Kedatangan Mus’ab rupa-rupanya tidak disenangi oleh beberapa orang pemimpin kaum di Yathrib. Antaranya ialah Usaid bin Hudhair dan Sa’ad bin Mu’az. Mereka ialah pemimpin kaum Bani Abdul Asyhal. Dek kerana termakan hasutan yang berbaur fitnah daripada Sa’ad bin Mu’az, Usaid bin Hudhair terus bergegas bertemu dengan Mus’ab. Mus’ab telah berjaya mengislamkan beberapa orang. Namun, dengan tombak di tangan dan muka yang masam, Usaid meluru ke arah Mus’ab dan As’ad yang sedang duduk bersama orang yang baru memeluk agama Islam.
“Mengapa kamu semua datang kepada kami? Adakah kerana ingin memperbodoh orang-orang yang lemah dalam kalangan kami? Pergilah dari sini sekiranya kamu ingin mencari keperluan untuk diri kamu sahaja!” Herdik Usaid.
Namun, jawab Mus’ab, “Mahukah kamu duduk dan mendengarkan apa yang ingin saya sampaikan terlebih dahulu? Jika ada yang baik mungkin kamu boleh terima. Jika tidak ada, kamu tidak perlu menerimanya.”
Usaid pun mendengar apa yang disampaikan oleh Mus’ab berkenaan Islam. Setelah puas mendengar, Usaid mengatakan bahawa beliau ingin memeluk Islam. Begitulah, manusia kadangkala membenci sesuatu yang tidak diketahuinya. Itulah yang terjadi kepada Usaid.
Ya, barangkali itulah sifat dan keperibadian yang ada pada diri sahabat Nabi ini. Walaupun masih lagi bergelar pemuda, namun beliau ternyata mampu untuk menghadapi situasi-situasi genting seperti ini. Kuncinya terletak kepada akhlak dan tingkah lakunya yang baik itu.
Hari ini umat Islam terpaksa bergelut sesama sendiri. Bergelut untuk membetulkan kembali tingkah laku segelintir umat Islam yang bergelar ‘duta Islam yang tidak bertauliah ini.’ Siapakah mereka? Sudah tentu mereka ini boleh dikatakan tidak memiliki tauliah mengajarkan agama daripada pihak berkuasa agama Islam. Relevannya, jika tidak mempunyai tauliah, maka sudah tentu seseorang itu tidak boleh memberi ceramah.
Namun, ada satu lagi golongan yang bukan sahaja tidak memiliki tauliah daripada pihak berkuasa agama Islam bahkan tidak memiliki pengetahuan Islam yang cukup untuk bercakap soal agama Islam. Mereka ini disebut sebagai ‘influencer’ di media sosial. Dengan ‘followers’ yang mencecah jutaan orang, kadangkala golongan ini mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan tentang Islam. Mungkin niatnya baik untuk berdakwah. Namun, apabila dilihat kembali gaya hidup yang bermewah-mewah, gemar menunjukkan kekayaan, tiba-tiba dengan beraninya mengulas tentang Isu-isu hukum-hakam yang sudah terang-terangan di luar batas pengetahuannya.
Tapi ramai betul yang like? Peliknya! Begitu juga dengan segelintir yang menunjukkan imej beragama, membawa nama pendakwah, ustaz dan sebagainya, namun menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat. Maka, secara tidak langsung telah memberikan imej yang tidak baik tentang Islam. Oleh itu, renungilah keperibadian Mus’ab bin Umair ini. Beliau telah menunjukkan teladan menjadi duta Islam dan dalam masa yang sama menjadi pendakwah yang baik. Itulah rahsia bagaimana beliau boleh berjaya mengislamkan penduduk Yathrib sehingga mereka kelak dikenali sebagai golongan Ansar yang membantu perjuangan Islam. Konklusinya, ilmu dan akhlak itu merupakan dua syarat yang perlu ada untuk menjadi duta Islam dalam negara apatah lagi di luar negara.
– Permata Umat: 30 Kisah Sahabat, Terbitan Telaga Biru



KOMEN