Alhamdulillah, kebelakangan ini, ramai dalam kalangan umat Islam yang cuba mengambil peluang menyampaikan dakwah terutamanya melalui kemudahan media sosial. Hal ini sebenarnya suatu yang positif dan patut diteruskan.
Berhubung perkara ini, Allah SWT telah tegaskan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu memperkatakan sesuatu perkara yang kamu (sendiri) tidak melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah jika kamu memperkatakan sesuatu perkara yang kamu (sendiri) tidak melakukannya.” (al-Saf:2-3)
Perkara ini juga ada ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedangkan kamu lupa akan diri kamu sendiri?” (al-Baqarah:44). Selain itu, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang menjelaskan bagaimana bentuk seksaan yang Allah SWT akan berikan kepada mereka yang hanya bercakap, tetapi tidak beramal atau tiada usaha untuk mengamalkannya.
Selain daripada perlunya kita menjaga kesahihan dan ketepatan maklumat yang ditularkan atau disebarkan itu, seperkara lagi, sebagai pendakwah, kita juga perlu berusaha mengamalkan setiap perkara yang disebarkan itu. Hal ini bagi mengelakkan kita daripada terjerumus dalam golongan yang bercakap tapi “tak serupa bikin”.
Misalnya diriwayatkan daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Harithah RA katanya: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Akan didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat kemudian dicampakkan ke dalam neraka. Lalu terkeluarlah isi perutnya dan berpusing lelaki itu dalam neraka seolah-olah keldai memusing kisaran. Lalu ahli neraka berkumpul kepadanya dan bertanya, ‘Wahai Fulan, mengapakah engkau ini? Tidakkah engkau dahulu menyuruh kepada kebajikan dan melarang daripada kemungkaran?’ Jawabnya: ‘Ya, aku menyeru kepada kebajikan tetapi aku tidak mengerjakannya dan melarang daripada kemungkaran, tetapi aku mengerjakannya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Berhubung perkara ini, kita terlebih dahulu perlu faham konteks ayat-ayat al-Quran dan al-Hadis Rasulullah SAW berkenaan celaan bagi orang yang tidak mengamalkan setiap perkara yang didakwahkan ini.
Sebenarnya, semua ayat al-Quran dan al-Hadis tersebut bukanlah bertujuan melarang kita daripada berdakwah. Kedua-dua ayat al-Quran yang dinyatakan sebelum ini adalah ditujukan kepada orang yang telah menjalankan dakwah, tetapi dia bersikap hipokrit.
Misalnya, dia bercakap soal kewajipan menutup aurat, tetapi dia sendiri tidak menutup aurat dengan sempurna; dia bercakap soal kewajipan membayar hutang, tetapi dia sendiri berhutang tetapi lari dari membayarnya; dia melarang orang daripada mengambil rasuah, tetapi dia memakan rasuah; dan dia menyeru supaya sentiasa mempergauli isteri dengan baik, tetapi dia sendiri terlibat dalam kes memukul isteri.
Di sini, saya ingin perbetulkan salah faham sesetengah umat Islam terhadap ayat-ayat al-Quran dan al-Hadis tentang celaan bagi mereka yang menjalankan dakwah, tetapi tidak beramal dengan perkara yang didakwahkan sebelum ini. Akibat kesalahfahaman itu, mereka yang belum memulai usaha berdakwah akan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan al-Hadis tersebut sebagai alasan dan hujah untuk meninggalkan kerja-kerja dakwah.
Sedangkan terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan tentang kewajipan berdakwah seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung” (Ali ‘Imran:104); dan firman-Nya lagi yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (al-Nahl:125)
Dalam pada itu, terdapat juga hadis tentang kewajipan berdakwah dan amaran bagi mereka yang tidak menjalankan kerja-kerja dakwah. Misalnya hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sampaikan daripadaku walau sepotong ayat” (HR Bukhari, no. 3461); dan sebuah hadis lain yang bermaksud: “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya; dan itu adalah selemah-lemahnya iman.” (HR Muslim, no. 49)
Kesimpulannya, kita perlu ber-usaha menyampaikan dakwah. Pada masa yang sama, kita perlu juga berusaha mengamalkan setiap perkara yang disebarkan itu. Maknanya, dakwah dan amal itu perlu berseiring. Lagipun, Allah SWT menyatakan hal ini merupakan suatu perkara yang terpuji dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)” (al-Fussilat:33).
Malah, hal ini bertepatan dengan kata-kata ulama: “Baiki diri, dan serulah orang lain” yang menjelaskan dakwah dan amal perlu seiring. Masalahnya, apabila terdapat orang yang mahu tunggu dirinya sempurna dahulu, barulah akan mengajak orang lain berbuat baik; dan mahu tunggu jadi baik sepenuhnya, barulah mahu berdakwah.
Hakikatnya, kita sering menjumpai orang yang sebegini. Kadang-kadang mereka terus berada dalam keadaan tersebut sampai bila-bila. Hal ini amat merugikan. Sebaliknya, bagi yang berkemampuan untuk berdakwah, mereka sepatutnya terus berdakwah. Melalui usaha dakwah yang dilakukan itu, mereka berpeluang mengamalkan setiap perkara yang disampaikan dalam kehidupan seharian secara istiqamah. Dengan itu, lama-kelamaan seseorang itu akan dapat mengimbangi antara perkara yang didakwahkan dengan amalannya dalam kehidupan.
– Dr. Mohd Shukri Hanapi, Majalah Dakwah, Isu. 057



KOMEN