Home » Wacana » Musibah : Penghapus dosa atau penambah pahala

Musibah : Penghapus dosa atau penambah pahala

sumber

Para ulama berbeza pendapat tentang apakah orang yang ditimpa musibah itu mendapat penghapusan dosa atau mendapat pahala. Sebahagian ulama berpendapat bahawa setiap musibah itu mendatangkan pahala bagi si penderitanya. Sebahagian yang lain mengatakan bahawa musibah mendatangkan pahala hanya jika si penderita bersabar menerima musibah itu.

Ibnu Abdussalam menyatakan hal itu secara tegas. Ibnu Taimiyah berserta sejumlah ulama yang lain menyatakan bahawa musibah secara mutlak mendatangkan pahala atau tidak dapat ditolak. Masing-masing kelompok mengemukakan alasannya secara tekstual.

Ulama yang berpendapat bahawa musibah itu membawa pahala mengemukakan dalil firman Allah SWT yang bermaksud:

“…Yang demikian itu ialah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak pula menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang yang kafir dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh…” (at-Taubah 9: 120)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah kelelahan, penyakit, gelisah, duka dan kesedihan menimpa seorang Muslim bahkan sekadar duri yang menusuk kulitnya, melainkan Allah menjadikan semua itu sebagai penebus kesalahan-kesalahannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam Mustadrak al-Hakim diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang ditimpa musibah adalah mereka yang dihalangi daripada pahala.”

Daripada Abu Dzar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Zuhud di dunia bukanlah dengan mengharamkan yang halal, bukan pula dengan mensia-siakannya, melainkan engkau lebih percaya kepada apa pun yang ada di tangan Allah daripada apa pun yang ada di tanganmu dan jika ditimpa musibah, engkau lebih mengharap pahala musibah itu daripada berada di dalamnya, meskipun musibah itu tetap menimpamu.” (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslin yang ditinggal mati tiga anaknya yang belum sampai dosa, pasti Allah akan memasukkannya dengan keutamaan kasih-Nya kepada mereka,” sedangkan Imam Ahmad dan an-Nasa’i meriwayatkan bahawa, “Dua orang tua Muslim yang ditinggal mati anak mereka yang belum sampai dosa, pasti Allah mengampuni mereka berdua.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim: “Seorang Muslim yang tertusuk duri atau yang lebih daripada itu, tentu akan dicatat baginya satu darjat dan dihapus daripada suatu kesalahan.” Dalam riwayat lain, “…Tentu Allah akan mengangkat dirinya satu darjat atau dihilangkan daripadanya satu kesalahan.” Dalam riwayat lain pula “…Tentu baginya akan dicatat satu kebaikan atau dihapus daripadanya satu kesalahan.”

Imam Nawawi berkata, “Dalam hadis-hadis ini terkandung khabar yang sangat menggembirakan kaum Muslim kerana tidak seorang pun di antara mereka yang tidak pernah mengalami musibah. Musibah itu baik penyakit, wabak, bencana dunia dan lain-lainnya akan menjadi penebus kesalahan. Dia juga akan diangkat darjatnya serta ditambah kebaikannya.” Pendapat inilah yang sahih menurut majoriti ulama.

Al-Qadhi Iyadh mengatakan bahawa sebahagian ulama berpendapat bahawa musibah hanya menjadi kifarat (penebus) kesalahan. Hal itu, diperkuat dengan kenyataan Aisyah r.a, “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang deritanya lebih daripada Rasulullah SAW.” Lalu sabda Rasulullah SAW, “Manusia yang paling berat bencananya adalah para nabi, kemudian orang-orang yang soleh dan yang seperti mereka kemudian yang seperti mereka.”

Segolongan ulama mengatakan, “Hikmah di sebalik ketetapan ini adalah bahawa para nabi dikhususkan dengan kesempurnaan sabar dan benarnya harapan dan para nabi itu maksum (terpelihara) daripada kesalahan sehingga musibah yang dialaminya bukan sebagai penebus kesalahan, tetapi mendatangkan pahala.”

Kelompok ulama kedua yang berpendapat bahawa penderita tidak diberi pahala kerana musibah itu, melainkan kerana sabar atas musibah itu, mengemukakan dalil firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (az-Zumar 39: 10)

Ibnu Abdussalam berkata, “Pahala itu diperoleh berdasarkan perbuatan hamba, bukan kerana perbuatan Allah padanya.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Inna lillah wa innah ilaihi rajiun,’ mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripda Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah 2: 156-157)

Abu Musa al-Asyari meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika Allah mencabut nyawa anak seorang hamba, Allah akan berfirman kepada para malaikat, “Apakah kamu telah mencabut nyawa anak hamba-Ku itu? Mereka menjawab, “ Ya.” Allah berfirman, “Bangunkan untuk hamba-Ku itu sebuah rumah di syurga dan berilah nama Rumah Pujian (bait al-hamd)!”

Menurut Ibn Taimiyah, musibah yang ditimpakan Allah kepada hamba-Nya terbahagi kepada dua: Pertama, yang bukan kerana perbuatan mereka, seperti sakit dan seumpamanya. Kedua, derita yang disebabkan oleh perbuatan mereka.

Musibah yang lahir daripada amal soleh seperti derita yang muncul daripada jihad, adalah derita yang mendatangkan pahala kerana manusia diberi pahala oleh Allah berdasarkan perbuatannya dan apa yang lahir daripada perbuatannya itu jika mampu menangunggnya.

Seorang pejuang yang menuju ke medan dan ia tahu bahawa dengan berperang ia akan mengalami penderitaan di jalan Allah SWT. Ia mungkin akan mengalami derita, misalnya hartany dirampas, diseksa dan bahkan dibunuh.

“…Yang demikian itu ialah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak pula menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang yang kafir dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh…” (at-Taubah 9: 120)

Allah SWT mencatat semua derita yang dialami oleh hamba-Nya dalam jihad di jalan-nya itu sebagai amal soleh yang bererti memperoleh pahala. Dan dengan itu juga Allah akan mengampuni kesalahan-kesalahan hamba-Nya itu yang bererti penghapusan dosa, sedangkan derita haus, lapar dan kepayahan yang muncul bukan daripada amal soleh, itu tidak mendatangkan pahala, ia hanya menjadi kifarat di atas kesalahan-kesalahannya.

Adapun orang yang ditinggal mati anaknya, di satu sisi ia akan mendapat pahala dan di sisi lain ia akan mendapat pengampunan dosa. Hal yang demikian itu, jika ia melahirkan anaknya daripada hasil pernikahan yang dilakukan dengan tujuan ibadah, misalnya menjaga diri daripada melakukan zina dan menahan pandangan daripada sesuatu yang haram.

Demikian juga derita dahaga, lapar dan bau mulut yang dialami ketika menjalani ibadah puasa. Atau derita menahan rasa mengantuk, kesejukan dan lelah ketika bangun malam beribadah. Semua derita yang lahir daripada amal soleh yang dilakukannya itu akan mendatangkan pahala sekali gus sebagai jalan penghapusan dosa. Derita yang dialami dalam perjuangan taat kepada Allah berbeza dengan derita yang dialami bukan dalam rangka taat kepada Allah. Namun, meskipun derita musibah tidak mendatangkan pahala kerana bukan berasal daripada amal soleh, paling tidak ia akan menjadi kifarat penghapus beberapa kesalahan yang dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah Allah menetapkan satu ketentuan kepada seorang mukmin melainkan itulah yang terbaik baginya dan itu hanya untuk orang mukmin. Jika ia mendapatkan kelapangan, ia bersyukur, dan itulah yang terbaik baginya. Jika ia mendapat kesulitan, ia bersabar dan itulah yang terbaik baginya.”

Ibnu Taimiyah berkata, “Derita musibah pada dirinya sendiri mengundang kifarat dan jika ditambah dengan sabar, itu akan mendatangkan pahala, maka di dalam cerita itu terkandung maghfirah dari sisi kifarah dan mengandung rahmat dari sisi sabar. Apalagi jika diiringi dengan taubat, istirja’, tawakal, tauhid dan ikhlas kerana musibah yang menggerakkan penderitanya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sentiasa berzikir, itu merupakan nikmat yang sangat besar.

Sebahagian salaf berkata, “Hai manusia, sungguh engkau telah diberi berkah derita yang dengannya engkau sentiasa mengetuk pintu Tuhanmu.” Dalam atsar disebutkan, “hai anak Adam, musibah itu akan menyatukan Aku dengan dirimu dan sihat itu akan menyatukan engkau dengan dirimu.”

Yang dimaksudkan huraian Ibnu Taimiyah di atas adalah bahawa setiap derita musibah daripada amal soleh akan mendatangkan pahala, sedangkan derita musibah yang lahir bukan daripada amal soleh itu tidak mendatangkan pahala, tetapi hanya menjadi kifarat ke atas dosa.

Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa kebanyakan orang hanya tahu nikmat dunia. Seorang salaf berkata, “Orang yang mengenal nikmat Allah hanya dalam makanan dan minuman, sungguh ilmunya sangat sedikit.” Ada orang yang hanya mengenal nikmat itu sekadar nikmat tubuh; makan, minum dan nikah atau nikmat kepimpinan, kemegahan, kekuasaan, memerintah, melarang dan mengalahkan musuh. Ada juga yang mengenal nikmat hanya dalam pengumpulan harta benda.

Semua itu termasuk dalam kelompok kufur. Bagaimanapun, ada juga orang yang mengenal nikmat iman dan amal soleh, hanya mereka tidak menganggap bahawa menyuruh iman dan berbuat baik serta jihad melakukannya sebagai nikmat. Bahkan mereka memandang bahawa jihad itu ada mudarat yang mesti dihindari.

Ada orang yang memandang bahawa jika jihad itu nikmat jika kembali dalam keadaan selamat dan membawa rampasan perang. Tetapi, jika ia terluka atau anaknya terbunuh atau hartanya terampas, ia tidak menganggapnya sebagai nikmat, melainkan musibah. Mereka berdalih bahawa yang disebut nikmat itu adalah hal-hal yang menyenangkan bukan yang menyakitkan. Bagi mereka, terluka, terampas dan kehilangan anak bukan sesuatu yang menyenangkan tetapi menyebabkan sengsara. Itu semua tidak berbeza, tergantung dari sudut mana memandang. Seperti seseorang minum ubat, tetapi ia akan mengalaminya sebagai derita dari sisi pahitnya minum ubat, tetapi ia akan mengalaminya sebagai nikmat dari sisi sihatnya tubuh kerana penyakitnya lenyap.

Petikan daripada Majalah Dakwah keluaran Isu 07 Mei/Jun 2011

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *