Home » Resensi » Kritikan terbuka kepada para intelektual

Kritikan terbuka kepada para intelektual

sumber

Tajuk buku:            Minda Tertawan : Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa
Penulis:                   Raja Ahmad Aminullah
Penerbit:                 Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)
Harga:                      RM23.00
Cetakan:                  Kedua (2014)
Jumlah halaman:   127
ISBN:                        978-967-5832-11-6       
 

Raja Ahmad Aminullah merupakan seorang penyair, penulis dan aktivis budaya kelahiran Perak Darul Ridzuan. Beliau mula menceburkan diri dalam bidang penulisan semenjak di bangku sekolah lagi. Minda Tertawan merupakan buku bukan fiksyen beliau selepas antologi sajaknya, Menyarung Jiwa (2004) dan Kata-kata Hati (2006).

Sinopsis:

Intelektual, cendekiawan atau rausyanfikir, siapakah mereka? Pada umumnya takrifan kamus menyatakan mereka orang yang berfikir dengan cerdik dan waras, memiliki pengetahuan yang luas dan memahami masalah di sekeliling.

Raja Ahmad menyentuh sifat-sifat ini, tetapi lebih daripada itu dia menempatkan mereka dalam konteks sosial dan kekuasaan; dan lebih memikat lagi perbicaraannya berlegar dalam ruang latar Malaysia, khususnya pada tahun-tahun awal kurun dua puluhan yang masih berbahang dengan penentangan gencar (tidak putus-putus) terhadap kekuasaan autoritarian Mahathir yang kemudiannya menyaksikan kekuasaan kerajaan Barisan Nasional tergugat teruk oleh pakatan pembangkang.

Pengarang menekankan pentingnya peranan intelektual dalam barisan atau ruang ketiga bagi mengemukakan kritikan, teguran atau fikiran alternatif yang memihak kepada kepentingan negara dan keadilan rakyat. Itulah yang sewajarnya, tetapi itulah yang selalu tidak terjadi; dan tanpa berbasa basi Raja Ahmad mengkritik intelektual atau cendekiawan di negara ini.

Pergaulannya dengan golongan ilmuan, seniman, sasterawan dan pemimpin politik; pengalamannya memimpin atau bergiat dalam badan-badan NGO, agensi swasta serta negeri; pendidikannya dalam bidang kepeguaman di United Kingdom, juga pembacaannya yang sangat banyak terhadap tokoh-tokoh intelektual Nusantara dan antarabangsa, memberi landasan yang memadai bagi Raja Ahmad untuk menulis dengan passionate dan cukup terbuka, terbuka untuk dihujah oleh pembaca.

Ulasan ringkas:

Penulis menukilkan catatan ini berikutan beberapa sebab yang berlaku dalam persekitaran dunia akademik yang dilihat terlalu terikat dengan kuasa politik. Situasi ini merupakan satu situasi yang mendukacitakan apabila ahli akademik yang sepatutnya berhujah dan berbicara dalam nada intelektual dan telus tetapi terpaksa menghalang diri sendiri demi menjaga kepentingan politik peribadi.

Ini adalah senario realiti yang ‘dibongkar’ oleh penulis bagi saya bukan untuk menuding jari kepada golongan ilmuan ini tetapi mahu memberi kesedaran bahawa sebenarnya ada amanah penting yang dipikul oleh mereka dalam membentuk dan membina masyarakat. Saya suka apabila penulis menggunakan istilah ‘rausyanfikir’ bagi menggambarkan betapa hebat dan besarnya peranan cendekiawan ini.

Antara kemabukan yang didedahkan adalah kemarukkan kuasa, pangkat dan gelaran di institusi masing-masing. Antara contoh yang dipaparkan adalah seorang pensyarah yang bermula dengan menjadi seorang tutor kemudiannya menyimpan cita-cita untuk menjadi timbalan naib canselor. Bukankah sebaiknya seorang pensyarah menumpukan perhatian kepada pengajarannya dan tidak mencampur adukkan urusan pentadbiran? Mungkin pandangan saya ini hanya melihat dari mata kasar tanpa mengharungi kehidupan seorang pensyarah tetapi persoalan sebegini pernah terdetik di hati saya. Ini realiti bukan?

Antara beberapa sikap yang dilihat merajai para cendekiawan dewasa ini adalah takut untuk menyatakan kebenaran, membudayakan ‘ampuisme’ khususnya terhadap golongan yang berkuasa dan yang memegang tampuk pemerintahan. Di samping juga mengabaikan salah satu tugas hakiki iaitu berperanan untuk melebarkan jalur pemikiran masyarakat, tidak mempunyai keghairahan pada kerja intelektual dan menganggapnya semata-mata sebagai suatu pekerjaan mencari nafkah berjadual dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dan tidak membaca genre buku yang di luar daripada keahlian asas mereka. (sumber: goodreads)

Saya tertarik untuk membaca buku ini kerana penulis banyak menggunakan ayat yang diibaratkan  sebagai ‘ siapa yang makan cili dialah yang terasa pedas’. Saya kira buku ini bukan sahaja perlu dibaca oleh ahli akademik tetapi bacaan ini umum untuk sesiapa sahaja bagi memahami dan mengkaji dengan mata hati tentang realiti yang sedang ‘menyelimuti’ bangsa kita.

Buku ini ternyata telah menjadi antara buku kesayangan saya.

Editor.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *