Home » Langit Terbuka » Myanmar berdepan tuduhan jenayah kemanusiaan – PBB

Myanmar berdepan tuduhan jenayah kemanusiaan – PBB

SITTWE, Myanmar 12 Dis – Myanmar dijangka ber­depan tuduhan jenayah kemanusiaan berikutan banyak bukti berupa gambar dan rakaman video dengan imej yang ‘mengganggu’ diterima oleh wakil khas hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Yanghee Lee.

Menurut Lee, pihaknya kini semakin hampir untuk mengheret Myanmar pertuduhan jenayah itu yang menyaksikan keganasan terhadap etnik Islam Rohingya sehingga memaksa beribu-ribu penduduk minoriti itu melarikan diri dari wilayah Arakan di utara negara ini.

“Kita menerima laporan dari dalam negara ini dan kawasan berjiran bahawa situasi yang berlaku di wilayah itu tidak seperti yang digambarkan oleh kerajaan Myanmar kerana kami melihat banyak gambar dan rakaman video yang mengganggu,” kata–nya kepada TIME.

Sementara itu, di Cox’s Bazar, Bangladesh, Al-Jazeera melapor–kan, etnik Rohingya terpaksa menjual barangan kemas milik mereka kepada ‘ejen’ pemerdagangan manusia bagi membolehkan mereka memasuki Bangladesh dan Thailand untuk sampai ke Malaysia.

Kebanyakan mereka terpaksa bersembunyi dalam sawah padi selama berhari-hari tanpa sebarang makanan kerana bimbang dikesan oleh anggota tentera atau pengawal sempadan Myanmar.

Malah ada yang hanya memakan daun untuk hidup semasa bersembunyi dalam hutan di sepanjang sempadan Bangladesh.

Namun semasa tiba di Bangladesh, tidak semua daripada pelarian Rohingya itu dibenarkan memasuki negara itu oleh pengawal sempadan malah ada yang diarahkan untuk pulang semula ke Myanmar.

Dalam masa ini, berpuluh-puluh ribu pelarian Rohingya berada di kem pelarian di sini yang diuruskan sendiri oleh kumpulan pelarian tersebut dengan bantuan makanan yang terhad.

Sementara itu, penduduk Islam di Myanmar bukan sahaja ditindas oleh golongan pelampau agama malah turut diperlakukan sedemikian oleh golongan profesional seperti doktor.

Seorang wartawan, Min Min yang beragama Buddha menceritakan sikap seorang doktor yang melarang dia meminjamkan telefon bimbit kepada seorang wanita hamil hanya kerana wanita itu beragama Islam.

“Dia (doktor) berkata kepada saya jangan tolong wanita itu kerana dia Islam malah dia mahu wanita itu membayar panggilan yang diterima menerusi telefon saya,” kata lelaki itu. – AGENSI

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *