Home » Persuasif » Anakanda hanyalah seorang manusia!

Anakanda hanyalah seorang manusia!

Oleh ABU IKRAM

Apabila pohon-pohon di belakang rumah dibongkah jentolak dahulu, saya antara insan yang setia memerhati kejadian itu sambil berpeluk tubuh. Kelihatanlah akarnya yang berselirat dan daun-daunnya yang berguguran serta dahan-dahan yang patah. Benarlah bahawa menanam, menyiram dan membaja adalah proses yang sukar, berbanding mencabut, mencantas atau merosakkan.

Itulah perumpamaan yang perlu menjadi renungan dalam hidup insan, terutama dalam mencari formula terbaik untuk mendidik dan membesarkan anak-anak. Pesan atau petua orang tua-tua yang terbentuk melalui pengalaman, sensitiviti kerana membesar dalam kesusahan, lahir dalam persekitaran pendidikan yang tidak mewah, justeru membentuk pelbagai persepsi dan adat dalam pendidikan anak-anak.

Ikutan turun-temurun dalam pendidikan yang cuba diaplikasikan dalam dunia moden kini kelihatan kurang efektif, terutama apabila mendepani keletah generasi milenium yang selesa dengan gajet dan dunia tanpa sempadan. Segala maklumat yang ingin diketahui, dapat dieksplorasi dengan mudah melalui internet. Ada yang mengeluh dan tidak kurang juga ada yang mengambil jalan pintas dengan menghantar anak-anak ke asrama pada awal usia.

Lalu trend menghantar anak ke asrama, sama ada melalui pengajian pondok atau madrasah tahfiz berleluasa dan menjadi pilihan ibu bapa, dengan harapan agar anak yang dihantar nanti akan menjadi baik dan masa bersama-sama gajet diganti dengan menghafaz al-Quran. Malah ada dalam kalangan ibu bapa yang sanggup berhabisan ribuan ringgit untuk menghantar anak-anak ke asrama sekolah elit yang berstatus swasta.

Usaha generasi terdahulu dalam pendidikan tidak wajar diperlekehkan. Jika diperhatikan secara teliti, generasi terdahulu memiliki kemampuan untuk berfikir aras tinggi yang memberi sumbang jasa yang tiada tolok bandingnya dalam perkembangan peradaban khususnya bangsa Melayu. Perhatikan pada simpulan atau peribahasa yang dicipta oleh generasi terdahulu berdasarkan pemerhatian yang mendalam tentang alam dan kehidupan. Fikiran biasa tidak akan mampu membuat tamsilan-tamsilan yang tepat dan indah – bagai anjing menyalak bukit, bagai aur dengan tebing, ibarat menyiram air di daun keladi, bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing – dan pelbagai lagi sebagai isyarat keupayaan berfikir dan taakulan yang tinggi generasi terdahulu.

Malang sekali jika alasan yang diberikan untuk menghantar anak ke asrama, melalui sistem pondok dan madrasah tahfiz adalah sebagai mencontohi usaha generasi terdahulu, sedangkan hakikatnya generasi terdahulu berusaha sedaya upaya mereka dalam kapasiti kemudahan yang terhad melaksanakan usaha pendidikan berteraskan suasana desa.

Sedangkan pada hari ini, ada dalam kalangan ibu bapa yang masih belum memupuk hubungan yang baik dengan anak-anak, lantas mengambil jalan mudah mengabaikan psikologi anak-anak dengan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada para guru atau masyaikh. Atau barangkali semata-mata terpengaruh dengan trend untuk menjadikan anak-anak bergelar huffaz seawal usia, sedangkan anak-anak dimangsakan hingga tiada ruang menjalani dunia kanak-kanak secara normal.

Sejak pada awal usia anak-anak telah dipisahkan daripada ibu bapanya dengan niat untuk mengajarnya berdikari. Dunia mereka pada saat itu hanya rakan-rakan dan pembelajaran dengan jadual yang padat. Mereka didorong supaya belajar dan menghafaz al-Quran dari nas dan dalil sunnah, sedangkan hakikatnya mereka mungkin bukan berasa terdorong tetapi berasa ‘dipaksakan’.

Imam al-Ghazali mengatakan dalam adikarya beliau “Ihya’ Ulumiddin” menegaskan bahawa anak-anak merupakan tanggungjawab ibu bapa. Ibu bapa menjadi teladan pertama dalam membentuk adab anak-anak. Begitu juga dalam aspek pendidikan al-Quran dan al-Hadis sejak kecil adalah tanggungjawab dan amanah pertama ibu bapa, dan bukannya menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab tersebut kepada pihak lain.

Menurut al-Ghazali, anak-anak kecil perlu dipastikan bergerak aktif terutama pada waktu siang. Anak-anak perlu bermain pada waktu kecil bagi menjadikan mereka semangat untuk belajar dan bangkit apabila menghadapi kesulitan. Ini bertepatan dengan teori psikologi yang menyarankan agar kanak-kanak bermain secara bebas (free play) bagi memberi perkembangan yang sihat pada jasmani, otak dan emosi mereka sebagai kanak-kanak normal.

Perhatikan bagaimana kehidupan desa mencorakkan kedewasaan kami. Ibu bapa di kampung akan membiarkan kami bermain sepuasnya dengan syarat tertentu. Jika keluar pada waktu pagi misalnya, dipesan agar sentiasa menjaga adab dan berhati-hati bermain. Jika keluar pada waktu petang pula, dipesannya supaya pulang sebelum maghrib, dan jika syarat tersebut tidak dipenuhi akan kedengaranlah jeritan bapa atau bebelan ibu.

Dr. Yee Jin-Shin seorang pakar psikiatri kanak-kanak di Korea, menegaskan bahawa kanak-kanak yang sudah menginjak ke usia remaja pada hari ini kebanyakannya kelihatan matang pada fizikal tetapi bukan pada emosi dan mental. Masalah psikologi yang utama melanda kanak-kanak adalah kurang perhatian daripada ibu bapa dan kerap terdedah dengan skrin atau gajet. Bermain secara bebas adalah sebagai cara untuk anak mengembangkan emosinya dan mampu mengekpresikan perasaan secara wajar.

Memimpin dan memandu emosi anak-anak adalah tugas dan peranan utama ibu bapa. Menyerahkan tugas tersebut kepada pihak lain akan menjarakkan hubungan peribadi antara anak dan ibu bapa seterusnya mendatangkan implikasi yang lebih buruk terutama apabila anak-anak meningkat ke usia remaja dan dewasa. Sebagai ibu bapa, kita tidak mahu kelak kedudukan anak-anak dengan diri kita semakin menjarak, malah anak-anak sanggup membelakangkan kita dan mengutamakan rakan-rakan dalam membuat pilihan dan keputusan dalam kehidupan.

Mempersoal trend dan budaya semasa adalah menjadi tugas dan peranan ibu bapa yang berilmu. Trend atau budaya semasa mungkin kelihatan baik di permukaan, tetapi jika diselami secara mendasar ia tidak semestinya betul dan tepat. Adakalanya ia perlu dipersoal semula berasaskan dapatan-dapatan psikologi dan sains sebagai sunnatullah yang berjalan seiring dengan prinsip sebab-akibat. Kita tidak mahu kelak, jika anak-anak berjaya sebagai seorang huffaz pada usia seawal kanak-kanak atau awal remaja, tetapi apabila dewasa mereka akhirnya menjadi ‘musuh’ kepada al-Quran itu sendiri dengan tidak menjaga amanah, tidak berakhlak dan membelakangkan kita kerana tidak menjalani dunia kanak-kanak dengan baik.

Benar sekali kita mungkin tidak memiliki kuantiti masa yang sangat lapang untuk bersama-sama anak-anak, tetapi kita sentiasa boleh memperbaiki hubungan, memperbaharui tindakan, memberikan sepenuh tumpuan kepada mereka.

Ya, kita sentiasa boleh menghasilkan masa kualiti bersama-sama mereka. Masa berkualiti inilah yang diaplikasikan oleh Nabi Allah Ibrahim AS jika diperhatikan dalam sejarahnya yang panjang meninggalkan Hajar dan Ismail di lembah yang gersang, dan dipertemukan semula hingga berlaku dialog ‘sembelihan’ antara Ibrahim dan Ismail yang memberi isyarat hubungan akrab antara bapa dan anak. Kisah ini memberi gambaran bahawa dalam kesibukan menjalankan ibadah dan perintah Tuhan, adalah menjadi tuntutan untuk ibu bapa memastikan masa berkualiti bersama-sama keluarga khususnya anak-anak.

Proses ‘mengislamisasikan’ anak-anak perlu dianalisis semula dengan tidak meninggalkan istilah ‘kemanusiaan’ anak-anak yang perlu melalui dunia kanak-kanak dengan bermain dan bersuka ria. Proses ‘mengislamkan’ anak-anak tidak boleh dikelirukan dengan istilah ‘memalaikatkan’, dengan mengharapkan mereka tidak melakukan kesilapan. Sedangkan kesilapan demi kesilapan menjadi teras pembelajaran dan kebangkitan dengan pimpinan serta panduan ibu bapa seterusnya menjadi insan yang berbudi.

Apabila memandang anak-anak yang adakalanya nakal dan tidak lekas mendengar kata, saya selalu mengucapkan dalam hati, sebagai terapi dan memujuk hati, “Anakanda hanyalah seorang manusia!” – MAJALAH DAKWAH

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *