Home » Langit Terbuka » Mydin platform tawar produk halal usahawan PKS

Mydin platform tawar produk halal usahawan PKS

Mydin menjadi pilihan kepada pelanggan pelbagai golongan masyarakat untuk mendapatkan produk berkualiti dengan harga berpatutan. - Foto SabahPost

SUBANG JAYA – Pengendali rangkaian peruncitan produk halal tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) optimis penyertaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama Mydin akan meningkat pada masa akan datang.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, ia berikutan Mydin sentiasa membuka peluang dan komited membantu usahawan PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menurutnya, Mydin terkenal dengan menawarkan pelbagai produk halal dengan harga berpatutan.

“Setakat ini, lebih 1,500 produk unit simpanan stok (SKU) halal daripada usahawan Melayu ditawarkan di Mydin dan mendapat permintaan tinggi.

“Ia menyebabkan produk tersebut sentiasa kehabisan dan permintaan pelanggan tidak dapat dipenuhi oleh Mydin. Produk yang mereka mahu bukannya tidak ada tetapi ia cepat habis dan pengeluar tidak cukup tangan untuk membekalkannya,” katanya.

Terdahulu, Ameer menjadi panelis pada Wacana Bangga Lokal Berdiri Global sempena Karnival Ini Malaysia Punya yang diadakan di Mydin USJ, Subang Jaya.

Wacana itu turut membariskan ahli panel lain iaitu Pengarah Fitrah Food Manufacturing Sdn Bhd, Rabbiatul Adawiah Hasim; Penolong Pengarah Majlis Halal Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Asyraf Ibrahim dan Pakar Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Nazari Ismail.

Ameer berkata, Mydin menjadi pilihan kepada pelanggan pelbagai golongan masyarakat untuk mendapatkan produk berkualiti dengan harga berpatutan.

“Ini juga meningkatkan bilangan usahawan di Mydin dari semasa ke semasa dan mereka menjadi usahawan berjaya.

“Malahan, kebanyakan usahawan bersama Mydin selama tiga atau enam bulan sebelum mengembangkan perniagaan mereka di rangkaian pasar raya lain,” katanya.

Selain wacana, Mydin juga mengadakan pameran jualan produk usahawan yang telah dan bakal bersama Mydin.

“Mydin mengadakan program ini untuk berkongsi maklumat mengenai kejayaan usahawan yang telah bersama Mydin. Ia juga mendedahkan kepada usahawan mengenai halal dan apa yang diperlukan untuk menjadi usahawan,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *