Home » Langit Terbuka » Na’im lega ada timbalan

Na’im lega ada timbalan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menarik nafas lega kerana sudah mempunyai rakan untuk membantu dalam menyiarkan syiar Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, sebagai menteri yang menjaga portfolio agama, beliau dan timbalannya nanti akan melakukan yang terbaik terhadap usaha-usaha untuk membangunkan Islam.

“Saya ucapkan jutaan terima kasihlah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong atas keputusan tersebut (lantik jawatan timbalan menteri).

“Saya harapkan agar setahun dah berlalu, kita amanah sebagai menteri agama, kita buat yang terbaiklah usaha-usaha untuk memartabatkan syiar Islam.

“Saya harap dengan adanya timbalan ini ia akan meringankanlah dan membantu saya untuk memastikan transformasi itu akan dapat diusahakan secara bersama dengan timbalan saya…Insyaallah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat hadir Raja Permasisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Terdahulu, hari ini Perdana Menteri menerusi sidang media khas di Putrajaya membuat pegumuman terhadap rombakan Kabinetnya.

Timbalan Rektor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Zulkifli Hasan akan membantu Mohd Na’im sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama).

Sejak setahun tertubuhnya Kerajaan Madani, Na’im mengemudi jabatan itu berseorangan tanpa ada timbalan. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *