Home » Langit Terbuka » Negara berdepan risiko jerebu

Negara berdepan risiko jerebu

Jabatan Bomba dan Penyelamat menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan semua aktiviti berkaitan pembakaran terbuka, termasuk aktiviti pertanian atau rekreasi yang membabitkan sumber percikan api. - Foto Siakap Keli News

BATU KAWAN – Malaysia berhadapan dengan risiko jerebu sekiranya pembakaran terbuka tidak dikawal sepanjang musim panas yang sedang melanda negara.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohamad Hamdan Wahid, berkata ketika ini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mendadak berhubung kes pembakaran terbuka di seluruh negara.

Beliau berkata, pada Februari lalu, JPBM menerima sebanyak 3,054 kes pembakaran terbuka, berbanding hanya 1,936 kes sama pada Januari lalu.

“Peningkatan mendadak ini amat membimbangkan kerana kita tidak mahu negara dilanda masalah jerebu sekali lagi.

“Untuk itu, JBPM kini dalam keadaan sentiasa bersiap sedia dan turut bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi bagi memastikan masalah jerebu tidak melanda negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun 2018 Peringkat JBPM Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mohamad Hamdan berkata, setakat ini JPBM belum dimaklumkan mengenai sebarang kemunculan titik panas di dalam negara.

Sehubungan itu, katanya, beliau menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan semua aktiviti berkaitan pembakaran terbuka, termasuk aktiviti pertanian atau rekreasi yang membabitkan sumber percikan api.

“Kalau kita tidak kawal pembakaran terbuka ini daripada sekarang, tidak mustahil boleh berlaku masalah jerebu yang teruk seperti pada tahun 1997 dan 2015 lalu,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berlanjutan sehingga akhir bulan ini.

MetMalaysia memaklumkan walaupun suhu panas dianggar meningkat 0.5 hingga 1 darjah celcius berbanding keadaan biasa, ia masih dianggap normal dan tidak sehingga mencapai suhu melampau seperti kejadian El Nino pada 2016. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *