Buku yang berasal dari tesis ijazah kedoktoran dalam bidang pengajian hukum dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kuala, Riau, Sumatera, Indonesia ini adalah suatu percubaan mengharmonikan ketatanegaraan Malaysia, yang prosesnya telah dimulakan apabila kerangka perlembagaan yang digubal sebelum merdeka telah memetakan Islam sebagai agama persekutuan dengan tidak melarang agama dan kepercayaan lain diamalkan dalam kalangan penduduk yang bersifat majmuk.

Perbincangan menjurus kepada pemikiran politik berasaskan warisan falsafah sunni yang wajar dijadikan acuan sistem peme­rintahan dan dasar berkerajaan negara-negara yang majoriti penduduknya Islam.

Malaysia yang meletakkan Islam sebagai titik besar asas keyakinan penduduk wajar mengharmonikan induk perundangannya walaupun masih mengekalkan sistem hukum warisan barat, terutamanya apabila undang-undang itu dilihat semakin tidak mampu mengekang persoalan adab dan adat istiadat.

Menurut pensyarah Kuliyah Undang-undang UIAM, Dr. Shamrahayu, metodologi kajian Dr. Alies untuk “membanding dan mengharmonikan” sistem politik Malaysia dengan warisan pemikiran Al-Ghazali adalah satu usaha yang bukan sahaja wajar disokong, malah perlu dikembangkan kepada satu kerangka bernegara yang selari dengan kehendak Islam.

Sebagai bukti keharmonian dalam keanekaan budaya dan kepercayaan, Malaysia mampu mempertahankan model politik “kesa­tuan dalam kepelbagaian” sehingga muncul sebagai negara kecil yang paling berjaya selepas mengalami proses penjajahan yang panjang. Sebelumnya, telah muncul sistem berkerajaan yang mengamalkan proses undang-undang Islam, se­perti Undang-Undang Laut Melaka, yang kemudiannya dirombak secara drastik oleh kolonialisme, terutamanya British.

Sejak empayar Melayu Melaka ditakluki Portugis (1511), diikuti Belanda dan seterusnya Bri­tish (1824), kolonialisme berjaya membentuk dualisme undang-undang di mana peraturan Islam hanya terpakai dalam hal ehwal masyarakat Islam, terutamanya dalam persoalan kekeluargaan dan kahwin-cerai. Persoalan yang lain harus memasuki dalam persekitaran undang-undang sivil yang diadaptasi daripada Wesminister dan amalan guaman tanah jajahan dari India.

Dr. Shamrahayu yang mengajar dalam bidang undang-undang selama 24 tahun di UIAM sebelum dipinjamkan ke Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) amat bersetuju dengan metodologi yang cuba digunakan oleh Dr. Alies untuk melihat kerelevanan sistem politik Malaysia berdasarkan kerangka pemikiran politik Islam yang diperbaharui oleh Al-Ghazali setelah melihat berlakunya perpecahan dan kekacauan falsafah masyarakat Islam abad pertengahan akibat pengaruh politik syiah dan Greek.

Baginya, yang cukup terkesan dengan Al-Ghazali sejak ber­umur 10 tahun setelah membaca Ihya Ulumuddin semasa di tahun empat dan bersekolah di Maahad Muhammadiah, Kota Bharu tidak melihat adanya perspektif ilmu yang dianggap sekular, kerana semua ilmu wajib dipelajari untuk memenuhi tuntutan kehidupan kecualilah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan sihir dan ilmu hitam.

Atas dasar itulah beliau tetap menyambung pengajian di UIAM walaupun peringkat awalnya dihujani pelbagai prasangka akibat pertembungan konsep ilmiah dan kaedah pendidikan Islam klasik. Al-Ghazali tidak membahagikan kerangka ilmu mengikut perspektif yang digarap oleh semangat kebangkitan Islam selepas Revolusi Islam.

Menurut beliau lagi buku ini langkah yang baik untuk mencungkil warisan pemikiran politik Islam dalam memberikan panduan pemikiran dan amalan bagi pentadbiran sebuah negara. Dalam era ketakteraturan, bahkan kecelaruan pemikiran tentang dasar dan asas serta hala tuju sesebuah negara percambahan minda dengan bentuk siyasah Islam dan pemikiran berasaskan rabbaniy­yah ini sangat dialu-alukan. Bahkan penulisan sebegini hendaklah mempelopori bidang penulisan dalam hal ketatanegaraan.

Menjadikan Madinah sebagai model ulung dalam hal kewarganegaraan, kenegaraan dan ketatanegaraan adalah sebaik-baiknya. Namun kerumitan keadaan dunia semasa seakan memerlukan percambahan lain yang lebih kontemporari untuk dijadikan panduan. Oleh itu, pemikiran Al-Ghazali adalah antara pilihan terbaik.

Secara keseluruhannya Dr. Shamrahayu menjelaskan buku ini menyatakan satu bentuk negara, iaitu Negara Maslahah, iaitu satu negara yang menganuti Islam, mengamalkan politik bermoral dan mempertahankan maqasid syariah. Dalam sistem pentadbiran, Negara Maslahah ini hendaklah mementingkan pengisian, bukan bentuk; memperlihatkan kebaikan dihayati dan keburukan dipadamkan. Negara Maslahah memerlukan ulama yang benar-benar seimbang, tidak mencintai dunia lebih daripada mencintai akhirat; dapat memberi amanat dan menunaikan amanah memberi nasihat kepada pe­mimpin dan segala pembantunya. Kepimpinan pula hendaklah beramanah dalam melaksana tanggungjawab. Tidak menerima dan memberi nasihat tanpa ilmu. Hanya kepimpinan yang baik, kuat, berdaya saing, berakhlak mulia dan berilmu yang boleh mentadbir Negara Maslahah.

Walaupun Al-Ghazali ahli falsafah dan tasawwuf terkenal, pemikiran Hujjatul Islam ini dalam soal siyasah jarang kedengaran. Oleh itu, beliau berpendapat bahawa buku ini satu hasil kerja yang berpotensi memberikan wajah baharu dalam wacana berkaitan sistem politik dan sete­rusnya pentadbiran negara.

Sebelum itu, Dr. Abdul Salam sebagai panel pertama mengakui walaupun beberapa pandangan Al-Ghazali dipertikaikan atas ketiadaan sanad penggunaan hadis dalam kitab Ihya Ulumuddin, keaslian pandangan dan kemam­puannya untuk memperkasakan se­mula pendekatan Islam sunni tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun.

Sebagai ilmuwan yang sentiasa mencari “kemanisan ilmu” Al-Ghazali membabitkan diri sepenuhnya dengan dunia pendidikan sama ada semasa bertugas di Universiti Mizamiyah hinggalah kembali ke kampung halamannya di Ghazlah dengan membuka madrasah sendiri.

Lebih menarik apabila Al-Gha­zali menjelaskan, apa pun yang hendak diambil keputusan oleh seseorang, mestilah mengambil kira kebaikan rakyat. Sekiranya pemimpin terkeluar landasan, ulama wajib memainkan peranan sebagai penasihat, bukannya terlepas pandang atau berdiam diri untuk menjaga kedudukan. UTUSAN MALAYSIA