Home » Langit Terbuka » ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’

‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’

Tema sambutan tahun ini bertepatan dengan Islam yang merupakan agama rahmah, mengajak manusia saling hormat menghormati, berkasih sayang, bertoleransi, saling memaafkan dan belas kasihan. - Foto JAKIM

KUALA LUMPUR – ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ dipilih sebagai tema sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan majlis sambutannya akan diadakan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 1 September ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim memberitahu, majlis sambutan yang bermula pada pukul 9.30 pagi itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billlah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut dijadualkan hadir Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

“Kemuncak bagi majlis sambutan Maal Hijrah ini adalah penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M. Pada tahun ini, jawatankuasa induk bersetuju menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada seorang tokoh ilmuan dan pemikir tersohor tanah air, manakala seorang tokoh antarabangsa juga akan turut dianugerahkan.

“Kriteria tokoh dipilih adalah berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman luas; mempunyai sifat dan peribadi unggul serta memberi sumbangan cemerlang dalam perkembangan syiar Islam. Tokoh itu juga telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan ummah selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini (28 Ogos).

Sementara itu, menurut Mohamad Nordin, tema sambutan itu dipilih bertepatan dengan Islam yang merupakan agama rahmah, mengajak manusia untuk saling hormat menghormati, berkasih sayang, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan.

Tambahnya, kasih sayang yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep rahmah seperti ditekankan dalam al-Quran dan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa oleh Rasulullah SAW merangkumi segenap aspek kehidupan termasuk sikap adil, berkasih sayang, bertolak ansur, bersangka baik, berlemah lembut, perdamaian dan harmoni.

“Dalam membina dan menyuburkan suasana kehidupan harmoni, pembangunan kerangka konsep Rahmatan Lil ‘Alamin di Malaysia seharusnya mengambil kira asas-asas konsep tersebut seperti termaktub di dalam al-Quran dan hadis.

“Sifat rahmah adalah bukti ketingggian akhlak dan keperibadian unggul sesebuah masyarakat. Semoga dengan penghayatan konsep rahmah oleh setiap individu Muslim Malaysia dapat menjadi model negara Islam terbaik dan mencipta kegemilangan dalam kalangan negara-negara Islam serta negara bukan Islam sedunia,” katanya.- Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *