Home » Langit Terbuka » Negeri Sembilan cadang tubuh Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah

Negeri Sembilan cadang tubuh Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah

SEREMBAN, 29 Ogos – Kerajaan Negeri Sembilan bercadang menubuhkan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi meningkatkan penghayatan ajaran dan fahaman tersebut di kalangan penganut Islam di negara ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu akan menyediakan satu landasan kukuh yang dibentuk secara formal untuk memastikan umat Islam sentiasa berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Berikutan itu, katanya, pelajar dan pegawai kerajaan tajaan kerajaan negeri akan diwajibkan menjalani kursus di institut itu setelah mereka tamat kursus di luar negara.

“Sudah sampai masanya di peringkat negeri untuk kita membina sebuah institut berikutan ancaman dari luar mengenai pelbagai fahaman yang kadang-kadang bukan sahaja datang secara fizikal tetapi dari segi alam maya seperti internet.

“Saya mahu umat Islam di negeri ini berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah supaya keharmonian masyarakat dapat dijaga dan akidah tidak bercanggah,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada program Multaqa Imam, Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid & Surau Solat Jumaat, Guru KAFA dan Guru Takmir Peringkat Negeri Sembilan 2016 anjuran Kerajaan Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mohamad berkata institut itu kelak akan menjadi seperti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dimana mereka yang baru pulang dari menuntut di luar negara akan diberikan kursus latihan selama tiga bulan supaya mereka lebih mengenali apa itu pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sementara itu, Jamil Khir berkata pihaknya menyokong penubuhan institut berkenaan.

Di peringkat persekutuan, JAKIM mempunyai modul yang serupa dengan institut yang bakal dibina itu, yang menyediakan kursus Diploma Pengurusan Islam (DPI). – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *