Home » Langit Terbuka » Niat, cara dan matlamat perlu selari – Mufti Kelantan

Niat, cara dan matlamat perlu selari – Mufti Kelantan

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

KOTA BHARU: Neelofa menggunakan pendekatan salah dalam pelancaran koleksi terbaharu hijabnya di sebuah pusat hiburan, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata, selebriti itu mungkin berniat baik apabila mengadakan pelancaran berkenaan tetapi pendekatannya menimbulkan tanggapan negatif masyarakat terhadap agama Islam.

“Saya melihat isu ini secara positif. Beliau mungkin berniat untuk berdakwah di kelab malam itu dengan membawa perkara baik (memperkenalkan koleksi hijab).

“Namun, cara penyampaiannya dengan mengadakan persembahan tarian adalah tidak betul,” katanya.

Dalam Islam, Mohamad Shukri berkata, seseorang perlu melakukan sesuatu dengan niat, cara dan matlamat yang baik serta betul.

“Islam menitikberatkan tiga perkara ini. Jika satu daripada tiga perkara ini tidak ada, maka ia dianggap salah.

“Ketiga-tiga perkara ini hendaklah selari setiap masa dalam Islam,” katanya.

Beliau berkata, Neelofa juga perlu berhati-hati dalam tindakannya kerana beliau adalah selebriti yang mempunyai ramai peminat.

“Saya ingin menasihati beliau supaya merujuk atau meminta pandangan ulama terlebih dahulu jika ingin mengadakan perkara seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri melahirkan kekhuatiran tindakan Neelofa melancarkan koleksi terbaharu hijabnya di sebuah kelab malam terkemuka, bakal membawa fenomena normalisasi dalam bertudung.

Beliau turut berpesan kepada Neelofa agar menghayati syariat Islam sebenar dengan bertanya kepada ulama sebelum bertindak, sentiasa memelihara imej wanita bertudung dan mencari rezeki diberkati Allah SWT. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *