Home » Langit Terbuka » Mata wang digital tidak sah

Mata wang digital tidak sah

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Bank Negara Malaysia (BNM) mengingatkan orang ramai bahawa mata wang digital tidak sah diperlakukan di Malaysia.

“Sehubungan itu, perniagaan mata wang digital tidak dilindungi oleh standard atau pengaturan amalan kehematan dan pasaran yang terpakai kepada institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM.

“Orang ramai dinasihati supaya menilai dengan berhati-hati risiko yang berkaitan dengan urusan dalam mata wang digital.

“Mana-mana individu yang menjalankan aktiviti melibatkan mata wang digital perlu merujuk butir-butir dalam dasar untuk menentukan kegunaannya dan mematuhi dasar itu dengan sewajarnya,” katanya.

Individu yang dilindungi di bawah dasar tersebut sebagai institusi pelapor diharap dapat mematuhi peruntukan Akta Syarikat 2016 termasuk keperluan untuk dimasukkan atau didaftarkan.

Orang ramai boleh mengakses dokumen dasar serta senarai soalan lazim dan maklum balas di laman web BNM di https://www.bnm.gov.my/.

Bank pusat berkata demikian dalam kenyataan akhbar yang mengumumkan pengenalan Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) bagi Mata Wang Digital untuk memastikan langkah-langkah berkesan disediakan untuk menangani aktiviti sedemikian.

Bank pusat berkata, dasar itu bertujuan untuk memastikan langkah-langkah berkesan disediakan terhadap risiko pengubahan wang haram dan pembia­yaan keganasan yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital dan meningkatkan ketelusan bagi aktiviti mata wang digital di Malaysia.

BNM berkata, dasar tersebut telah mengambil kira maklum balas yang diterima semasa tempoh rundingan awam mengenai draf pendedahan yang dikeluarkan pada 14 Disember 2017.

BNM menerima maklum balas daripada wakil pengurup mata wang digital sedia ada, persatuan industri, firma undang-undang, institusi kewangan, ahli akademik dan individu yang berminat.

“Maklum balas yang diterima daripada responden terutama­nya tertumpu pada obligasi yang dikenakan ke atas pengurup mata wang digital, termasuk perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perantara yang melibatkan mata wang digital,” katanya.

Ia mengingatkan seruan terhadap obligasi pelaporan dalam perniagaan pertukaran mata wang digital tidak dengan apa-apa cara memberi konotasi keizinan, pelesenan, pengesahan atau sokongan oleh BNM dari mana-mana entiti yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pertukaran mata wang digital.

Jika berkaitan, perkara tersebut telah diperjelaskan lagi dalam dokumen dasar itu. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *