Home » Langit Terbuka » Nor Shamsiah Azam Jaga Kestabilan Kewangan Negara

Nor Shamsiah Azam Jaga Kestabilan Kewangan Negara

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng bersalaman dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus

PUTRAJAYA – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, beriltizam untuk meneruskan mandat bagi menjaga kestabilan kewangan demi kepentingan negara.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan dan juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, atas peluang pelantikan berkenaan.

“Saya rasa berbesar hati dan akan menggalas tanggungjawab ini dengan sebaiknya serta bekerja secara berpasukan dengan kakitangan lain di BNM,” katanya.

Terdahulu, pelantikan Nor Shamsiah sebagai Gabenor diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada sidang media khas di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Ditanya mengenai keutamaannya selepas dilantik sebagai Gabenor, Nor Shamsiah berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan apa keutamaan itu dalam mengemudi bank pusat berkenaan.

“Saya sudah tinggalkan BNM selama dua tahun, saya kena masuk pejabat dan jumpa pegawai serta kakitangan BNM dulu sebelum tentukan apa keutamaan itu,” katanya.

Beliau turut ditanya wartawan mengenai isu penurunan nilai ringgit, namun, Nor Shamsiah memaklumkan masih terlalu awal untuk memberi komen mengenainya.

“Tunggu saya masuk pejabat dulu,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, Nor Shamsiah adalah wanita yang berkebolehan dan mendapat keyakinan pada peringkat antarabangsa terutama dalam aspek kewangan.

Beliau berkata, Nor Shamsiah dilantik sebagai Gabenor BNM selama lima tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai ini hingga 30 Jun 2023.

“Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 19 Jun lalu memperkenankan cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melantik Nor Shamsiah sebagai Gabenor BNM yang baharu.

“Nor Shamsiah adalah Timbalan Gabenor BNM antara 2010 hingga 2016. Beliau juga pernah bertugas sebagai Penolong Pengarah Bahagian Kewangan dan Pasaran Modal, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya.

Menurutnya, ketika berkhidmat sebagai Timbalan Gabenor BNM, Nor Shamsiah bertanggungjawab ke atas penyeliaan perbankan; insurans dan takaful; perisikan kewangan dan penguatkuasaan selain pengurusan bakat, kewangan dan perkongsian perkhidmatan di BNM.

Nor Shamsiah menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim yang meletakkan jawatan sebagai Gabenor BNM pada awal bulan ini.

Nor Shamsiah meninggalkan bank pusat itu pada November 2016, tujuh bulan selepas Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengakhiri tempoh perkhidmatannya sebagai Gabenor pada April tahun sama, bagi menyertai IMF.

Beliau turut terbabit secara langsung dalam mencari penyelesaian krisis kewangan Asia 1998 dan memainkan peranan penting dalam pembentukan Pelan Induk Sektor Kewangan (2001-2010) dan Pelan Hala Tuju Sektor Kewangan (2011-2020). – BERITA HARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *