Home » Langit Terbuka » Pandangan pisahkan madani dan agama dengan sekularisme adalah salah, terpesong

Pandangan pisahkan madani dan agama dengan sekularisme adalah salah, terpesong

Anwar Ibrahim - Foto Utusan Malaysia

PETALING JAYA: Pandangan bahawa gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memisahkan madani dan agama dengan dakwaan sekularisme adalah salah dan terpesong, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Beliau berkata, Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri perlu difahami dengan konsep dan falsafah sebenar kerana menurut ahli falsafah Islam, Al-Farabi sumber utama ilmu madani adalah ajaran agama yang menjadi teras pembentukannya.

Katanya, konsep Madani juga adalah berasaskan negara Madinah apabila Nabi Muhammad SAW berjaya menyatupadukan penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum bukan sahaja umat Islam (muhajirin dan ansar), bahkan bukan Islam (Yahudi) melalui Piagam Madinah.

“Jika dilihat, Perlembagaan Persekutuan yang kita miliki hari ini juga mengambil semangat Piagam Madinah yang merupakan satu dokumen berteraskan persetujuan bersama semua pihak daripada pelbagai agama dan bangsa (kontrak sosial).

“Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan sokongan padu daripada empat gabungan terbesar iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan menterjemahkan nilai kebersamaan dan diversiti dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia berbilang etnik dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, konsep Malaysia Madani juga selaras dengan ayat al-Quran dalam Surah al-Hujurat Ayat 13 yang bermaksud Allah menciptakan manusia daripada lelaki dan perempuan serta pelbagai bangsa supaya saling kenal-mengenali antara satu dengan lain.

“Ayat ini jelas sebagai panduan untuk hidup serumpun dan bersatu-padu walaupun mempunyai pelbagai perbezaan. Maka sebarang usaha atau kenyataan sensitif yang menyebarkan api kebencian, perkauman dan permusuhan dalam masyarakat perlu dipadamkan kerana bagai api dalam sekam, jika dibiarkan akan melarat,” katanya.

Katanya, bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria pada April 2016 pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hukum menjatuhkan pemimpin adalah haram di sisi Islam selagi mana pemerintah itu masih berpegang kepada ajaran agama dan tidak mengajak rakyat melakukan maksiat.

Katanya, menurut Allahyarham penukaran pemimpin perlu dibuat melalui saluran yang betul iaitu pilihan raya.

“Meneliti antara intipati kenyataan media pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 24 November 2022, beliau komited mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjunjung agama Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3(1)), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 38) dan hak keistimewaan kaum Melayu (Perkara 153) tanpa meminggirkan hak kaum Cina, India, suku kaum Sabah dan Sarawak serta orang asli,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *