Home » Langit Terbuka » Pejabat Mufti diminta panggil Hanipa

Pejabat Mufti diminta panggil Hanipa

Ismail Mina

Penjelasan perlu diberikan

KUALA LUMPUR 31 Mac – Pihak berautoriti terutama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dipohon untuk memanggil Mohamed Hanipa Maidin bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan ‘kontroversi’ yang dibuat Ahli Parlimen Sepang dari PAN itu.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Ismail Mina Ahmad berkata, meskipun ungkapan ‘Kalau saya tuhan’ daripada Mohamed Hanipa itu dibuat dalam sidang Dewan Rakyat, ungkapan berkenaan telah menimbulkan kegemparan dalam kalangan masyarakat Islam.

“Saya berharap perkara ini mendapat perhatian daripada pihak berautoriti agama Islam kerana isu tersebut telah menimbulkan kegemparan dan keliruan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Mohamed Hanipa yang lantang menyebut “Kalau saya tuhan, dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Sudah lama saya hapuskan kamu,” yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, kelmarin.

Mohamed Hanipa dalam laman Facebook miliknya hari ini menyatakan beliau mempertahankan kenyataan dibuatnya itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap komentar golongan agama berikutan kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, aktivis masyarakat, Ismawi Ishak berkata, beliau berharap pihak berautoriti dapat memberi perhatian mengenai isu berkenaan bagi mengelakkan sebarang salah faham yang lebih besar berlaku.

Katanya lagi, pihaknya khuatir jika isu berkenaan tidak ditangani segera, ia akan menimbulkan lebih banyak perdebatan yang merugikan masyarakat Islam  dan Ahli Parlimen dari PAN itu juga wajar bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuatnya.- UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *