Home » Citra Yadim » Pelajar sekolah menengah ungguli Al-Kubra Awards 2017

Pelajar sekolah menengah ungguli Al-Kubra Awards 2017

PUTRAJAYA 15 Dis. – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru (SMKAJB)dan Nais Production masing-masing dinobatkan juara dalam kategori `Pelaburan Patuh Syariah’ dan `Takaful’ pada  Pertandingan Video Pendek Cinta Muamalah 2017, Al-Kubra Awards yang diadakan semalam di Hotel Mariott, Putrajaya.

Dengan kemenangan itu mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM3,000, plak, sijil penyertaan, bar emas  yang ditaja oleh Malaysia Takaful Association, Bursa Malaysia dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Ini adalah kemenangan SMKAJB kedua selepas sekolah berkenaan turut dipilih sebagai pemenang dalam pertandingan yang sama tahun lepas.

Pasukan berkenaan dianggotai oleh Nur Faqihah Ibrahim, Julainah Jumat, Farah Najwa Mohd Al Hushairi, Siti Nur Sa’adah Azhar dan Daing Nurfarah Raihana Mohd Kahar.

Mereka menewaskan empat finalis lain iaitu Kolej Vokasional ERT Setapak di tempat kedua, dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di tempat ketiga serta dua pasukan dari UniKL merangkul dua hadiah sagu hati.

Sementara itu, dalam ketegori `Takaful’, Nais Production yang terdiri daripada sekumpulan remaja berumur 14 tahun dari pelbagai sekolah mengungguli kategori berkenaan menewaskan empat finalis lain.

Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam, Selangor, ketiga oleh Politeknik Sultan Azlan Shah sementara Kolej Mara Kulim dan satu lagi pasukan Politeknik Sultan Azlan Shah memenangi hadiah sagu hati.

Nais Production yang dianggotai oleh Muhammad Ismail Zulkifli, Muhammad Aqil Rasydan  Norazman, Muhammad Akmal Hamdan Zulkarnain, Syahir Arsyad Shuhaimi dan Mu’az Hidayat Mizrawan ternyata tidak menyangka mampu memenangi pertandingan berkenaan.

Mereka yang menghasilkan video berkenaan sewaktu cuti persekolahan kerana masing-masing bersekolah di sekolah berasingan, mendapatkan maklumat mengenai takaful melalui internet dan pembacaan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *