KAJANG – Tarikh 1 September menjadi titik mula buat 28 pelatih Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) 2026 Siri Ke-8 apabila kesemuanya melapor diri di Kolej Dar al-Hikmah, Kajang, Selangor.
Tiga bulan mendatang bukan sekadar tempoh mengikuti kelas. Para pelatih bakal melalui latihan yang dirangka untuk memperkukuh ilmu, sahsiah, kepimpinan, kemahiran komunikasi dan kompetensi dakwah.
Daripada teori kepada pengalaman sebenar, pelatih akan didedahkan kepada pelbagai modul serta pengalaman dakwah secara praktikal, termasuk mendekati dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.
Permulaan perjalanan para pelatih dimulakan dengan Sesi Amanat Khas oleh Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan YADIM, Haji Mahadi bin Awang, yang mengingatkan para pelatih tentang tiga perkara penting iaitu niat, disiplin dan manfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan.
Para pelatih juga telah diraikan dalam satu pertemuan ringkas bersama kepimpinan Kolej Dar al-Hikmah, selaku rakan strategik program.
ADMY semestinya bukan untuk menjadi popular. Ia tentang membentuk diri untuk membawa mesej dakwah dengan ilmu, akhlak dan hikmah, serta bersedia berkhidmat kepada masyarakat dan ummah.
Siapa mereka selepas tiga bulan nanti? Kita ikuti bersama perkembangan mereka sepanjang ADMY 2026 Siri Ke-8.
Selamat menjalani latihan kepada para pelatih ADMY 2026 dan semoga berjaya!
Melestari Dakwah MADANI.



KOMEN