Home » Langit Terbuka » PEMBELA buat laporan polis ke atas Paderi Paul hina Islam

PEMBELA buat laporan polis ke atas Paderi Paul hina Islam

KUALA LUMPUR, 25 Okt. – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) hari ini membuat laporan polis ke atas Paderi Katolik Emeritus Dr Paul Tan Chee Ing kerana mengeluarkan kenyataan menghasut yang menghina Islam dan mempertikai undang-undang Syariah.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Daerah Dang Wangi, di sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan Dr Paul itu bersifat Islamophobia dan menghasut.

“Apa yang diucapkan boleh mencetuskan kemarahan dan keresahan umat Islam. Bahkan menimbulkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini.

“Kenyataan dia juga seolah memperlekeh Islam sebagai Agama Persekutuan seperti mana dalam perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui Ismaweb.

Dr Paul dalam temubual bersama portal liberal sebelum ini mengutuk tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu memperkasa mahkamah Shariah melalui pembentangan Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Paderi itu berkata, usul Hadi jika diluluskan adalah langkah penting kepada gerakan Islamisasi negara ini.

Dalam masa yang sama beliau turut mempertikai undang-undang Syariah dengan mendakwa ia membenarkan diskriminasi terhadap bukan Islam, mengamalkan ketidakadilan jantina, membenarkan perkahwinan di bawah umur dan mengamalkan kebencian terhadap bangsa Yahudi.

Paderi itu turut mempersoal di manakah kebaikan sebuah masyarakat berlandaskan undang-undang Shariah berbanding undang-undang liberal.

Mengulas lanjut Haji Aminuddin berkata, Dr Paul benar-benar campur tangan dalam urusan umat Islam.

“Bahkan apa yang diperkatakan seolah menyanggah kehendak Yang Dipertuan Agong ketika sesi pembukaan Parlimen pada 7 Mac lalu yang mahu langkah-langkah untuk memperkukuh institusi agama diperkukuhkan.

“Agong juga menggesa agar dimantap dan disegerakan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah,” katanya.

Susulan itu beliau berkata, PEMBELA mendesak agar pihak polis membuat siasatan terperinci dan mendakwa Paderi Paul mengikut Akta Hasutan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *