Home » Langit Terbuka » Pembelajaran jawi di SJK, SK diteruskan

Pembelajaran jawi di SJK, SK diteruskan

Asas pengajaran tulisan jawi adalah sebahagian daripada seni, warisan dan sejarah yang perlu dihargai dan diperkayakan. - Foto Cari.Net

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan meneruskan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) pada 2021.

Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, ia berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Ogos tahun lalu yang memutuskan supaya pengenalan tulisan jawi tetap diteruskan di SJK dan SK.

“Inilah keputusan dibuat Jemaah Menteri dan pada dasarnya kita mengikut arahan diputuskan oleh Jemaah Menteri,” katanya di Dewan Rakyat pada 7 Disember.

Dalam pada itu, Muslimin berkata, asas pengajaran tulisan jawi adalah sebahagian daripada seni, warisan dan sejarah yang perlu dihargai dan diperkayakan.

Menurutnya, pengajaran tulisan jawi kepada murid-murid terbabit juga bukanlah seperti yang dimomokkan oleh sesetengah pihak.

“Kita bukan mengajar menulis dan membaca atau mengajar 30 huruf dalam ‘Alif, ba, ta’, sebaliknya ia sekadar proses pengecaman. Contohnya dalam wang kertas kita ada tulisan jawi di belakangnya.

“Ada tulisan Bank Negara Malaysia dan Ringgit Malaysia dalam tulisan jawi. Jadi, dalam pengenalan tulisan jawi bagi (murid) Tahap 2 Tahun 4 bermula tahun ini, hanyalah proses pengecaman yang perlu mereka pelajari,” katanya.

Katanya lagi, selain mata pelajaran Pendidikan Islam, mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah menggunakan tulisan jawi sepenuhnya, termasuk dalam soalan peperiksaan.

“Ada sekolah yang melaksanakan kem pemulihan jawi bagi murid sekolah menengah. Selain itu, terdapat juga sekolah yang menganjurkan aktiviti kokurikulum bagi menanam minat murid dalam jawi.

“Justeru Kementerian Pendidikan yakin bahawa pendekatan yang digunakan setakat ini mampu mengekalkan kesinambungan tulisan jawi pada peringkat sekolah menengah,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *