Home » Resensi » Pemikiran Pendidikan Islam Menangani Cabaran Semasa

Pemikiran Pendidikan Islam Menangani Cabaran Semasa

Banyak penulisan atau karya yang dihasilkan olah sosok ilmuwan Islam terhadap perubahan menunjukkan bahawa semua perkara yang dibahaskan dalam pendidikan moden dan terkini ada dasarnya dalam pendidikan Islam yang mampu berintegrasi dalam semua sistem dan nilai. Inilah yang ingin disampaikan oleh Dr. Sidek Baba, seorang tokoh pendidik dan ilmuwan Islam Malaysia tersohor dalam buku terbaharunya Pemikiran Pendidikan Islam: Suatu Pendekatan Transformatif.

Judul Buku:  Pemikiran Pendidikan Islam: Suatu Pendekatan Transformatif

Penulis: Sidek Baba

Penerbit: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Tahun: 2017

No. ISBN : 978-967-5128-45-5

Pengulas: Shaharom TM Sulaiman

Membicarakan pemikiran pendidikan Islam, masa kini kita secara tidak langsung akan membicarakan idea dan gagasan tokoh-tokoh atau sosok ilmuwan Islam kontemporari seperti Ismail Al-Faruqi dengan gagasan Islamisasi Ilmu, Syed Hussein Nasr dengan gagasan sains ‘spiritual Islam, dan Syed Muhamad Naquib Al-Attas dengan gagasan falsafah Islamisasi ilmu. Namun, sifat zaman yang berubah khususnya dalam era ICT dan globalisasi memerlukan tinjauan semula terhadap kandungan ilmu dan metodologi keilmuan dan pendidikan Islam terkini yang berteraskan al-Quran dan Sunnah yang mampu menampilkan keuniversalan Islam dalam menghadapi cabaran dan tuntutan zaman yang diwarnai oleh teknologi maklumat dan komunikasi yang serba canggih.

Banyak penulisan atau karya yang dihasilkan olah sosok ilmuwan Islam terhadap perubahan menunjukkan bahawa semua perkara yang dibahaskan dalam pendidikan moden dan terkini ada dasarnya dalam pendidikan Islam yang mampu berintegrasi dalam semua sistem dan nilai. Inilah yang ingin disampaikan oleh Dr. Sidek Baba, seorang tokoh pendidik dan ilmuwan Islam Malaysia tersohor dalam buku terbaharunya Pemikiran Pendidikan Islam: Suatu Pendekatan Transformatif. Dalam buku ini, Sidek cuba menghubungkan pemikiran Islam dalam pendidikan dengan proses transformasi pendidikan negara. Skop transformasi pendidikan negara tidak sahaja menggarap asas-asas fundamental dalam keperluan domestik tetapi juga memberi respons terhadap cabaran globalisasi. Ini termasuklah kemahiran berbahasa serta iltizam memartabatkan Bahasa Melayu. Ini jelas terungkap dalam bab Pemikiran dan Bahasa dan bab Memahami High-Tech dan High-Touch.

Dikotomi atau pemisahan antara ilmu mengurus diri dengan ilmu mengurus sistem telah menyebabkan daya keintelektualan tidak berkembang. Terdapat kecenderungan dalam kalangan umat untuk membangunkan Islam secara syumul, namun keupayaan ilmu dan keterampilan menyebabkan berlakunya kepincangan. Kepincangan intelektual berlaku disebabkaan tidak wujud tradisi berfikir yang terancang dan melihat tradisi pengkaryaan dalam pelbagai disiplin ilmu sebagai sesuatu yang remeh. Akhirnya pemikiran yang lahir tidak mampu memberi respons terhadap kemajuan sains dan teknologi. Dikotomi ini menyebabkan jalan berfikir umat amat tradisional  sedangkan cabaran kehidupan sebenar adalah canggih dan moden. Hal ini mendapat sorotan Sidek dalam bab dikotomi ilmu dan pendidikan, Kepentingan ilmu mengurus sistem dan bab integrasi ilmu mengurus diri dan sistem.

Sidek menjelaskan kepentingan ilmu pengurusan diri dan ilmu pengurusan sistem menjadi suatu yang tidak boleh dielakkan dengan menekankan nilai utama dan nilai interaktif supaya proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan lebih berkesan. Menekankan kepentingan nilai integrasi elemen-elemen dalaman/manusiawi dalam proses pendidikan merupakan pokok pemikiran Sidek yang menghiasi pendekatan penulisan dalam buku ini.

Sidek adalah antara ilmuwan yang bersikap kritis terhadap pergantungan umat Islam terhadap sumber-sumber yang tidak ‘Islamik’ dalam semua aspirasi dan program pendidikan yang akan menafikan kekuatan dalaman (spiritual) sesuatu bangsa. Apa yang penting ialah kemahiran membezakan antara faktor tradisi dan faktor tradisional. Elemen-elemen yang wujud pada masa lalu menjadi tradisi yang baik pada hari ini. Kebaikan yang dilakukan hari ini akan bertukar menjadi tradisi yang baik pada hari mendatang. Dalam tradisi ilmu dan pendidikan, prinsip dan pendekatan yang holistik dan fitrah pada masa lalu tetap menjadi tradisi yang baik. Pendekatan yang terbaik hari ini, diperkukuhkan dengan yang terbaik pada masa lalu menghasilkan suatu sinergi yang menentukan wujudnya kesinambungan yang mengarah kepada pengukuhan peradaban sesuatu bangsa. Inilah pendekatan unik dan menarik Sidek Baba melalui buku yang diterbitkan YADIM ini. – MAJALAH DAKWAH

 

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *