Home » Langit Terbuka » Pemimpin kuil Seafield mohon maaf kerana dakwa Adib dilanggar kenderaan bomba

Pemimpin kuil Seafield mohon maaf kerana dakwa Adib dilanggar kenderaan bomba

Pemimpin Kuil Sri Maha Mariamman dilapor berkata, beliau membuat kenyataan anggota bomba dilanggar sebelum ini selepas melihat sebuah klip video dan mahu mengetengahkan kebaikan orang yang mula-mula membantu anggota bomba berusia 24 tahun itu - Foto Abu Leman

KUALA LUMPUR – Pemimpin Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield USJ 25 yang sebelum ini mendakwa Muhammad Adib Mohd Kassim dilanggar oleh kenderaan bomba ketika rusuhan minggu lalu dilapor memohon maaf berhubung perkara itu.

S. Ramaji dilapor berkata, beliau membuat kenyataan itu sebelum ini selepas melihat sebuah klip video dan mahu mengetengahkan kebaikan orang yang mula-mula membantu anggota bomba berusia 24 tahun itu.

“Saya dengan rendah diri mohon maaf atas segala kekeliruan. Saya cuma mahu tunjukkan kebaikan orang-orang yang bertindak pantas membantu anggota bomba itu, bukan mahu timbulkan kekeliruan tentang kejadian secara keseluruhan atau menuduh sesiapa,” katanya.

“Sekali lagi saya tegaskan bahawa ini bukanlah satu insiden perkauman. Malah setiap hari saya berdoa untuk anggota bomba itu,” katanya.

“Sesetengah orang kata orang India tarik dia (Adib) keluar dari kenderaan dan belasah dia, keesokan harinya kami dapat video,”

“Jadi keesokkan hari apabila kami dapat video ini, kami berasa sangat teruja kerana kami dapati ada bukti bahawa orang India kita tidak melakukannya. Jadi bila kita dapat bukti itu, kami fikir ia patut diberikan kepada wartawan,” kata Ramaji atau nama sebenarnya M Ramachandran yang ditemui baru-baru ini.

Tambahnya lagi, beliau hanya mahu memberikan bukti yang diterima oleh ahli kuil, dan tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap sesiapa pun yang terlibat dalam kejadian itu.

“Terima kasih Adib kerana berkhidmat untuk rakyat Malaysia. Kamu seorang yang sangat baik dan saya akan terus doakan kamu dalam doa saya,” katanya.

Pada 28 November lalu, Ramaji dilapor memberitahu wartawan dalam satu sidang media bahawa kecederaan parah yang dialami oleh Muhammad Adib bukan akibat diserang oleh perusuh, tetapi kerana dilanggar oleh lori bomba yang mengundur secara laju.

Muhammad Adib, anggota bomba dari Unit Tindakan Kecemasan (EMRS) Subang Jaya telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) dari Subang Jaya Medical Centre (SJMC) pada malam 27 November.

Beliau telah dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) di SJMC pada pagi hari yang sama dalam keadaan rusuknya patah dan bengkak di bahagian dada serta abdomen selepas dikatakan dibelasah oleh perusuh yang menariknya keluar dari kenderaan yang dinaikki.

Bagaimanapun minggu lalu Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan bahawa anggota bomba Muhammad Adib telah dibelasah dan bukan dilanggar oleh lori bomba.

“Berdasarkan maklumat yang kami perolehi setakat ini, dia tidak dilanggar oleh lori bomba. Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohamad Hamdan Wahid juga telah mengesahkan perkara ini dan satu laporan polis telah dibuat,”. – Malay Mail.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *