Home » Kenyataan Media » Pencapaian 2019 YADIM

Pencapaian 2019 YADIM

Semenjak menerima pelantikan daripada YAB Perdana Menteri pada 20 Disember 2018, barisan kepimpinan Lembaga Pemegang Amanah YADIM yang diketuai oleh Yang Dipertua, YBhg. Ustaz Haji Nik Omar Bin Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Hj Nik Ab Aziz, telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi mereformasi dan menstruktur semula fungsi dan peranan Yayasan ini agar selari dengan realiti dakwah dalam era Malaysia baharu sama ada diperingkat domestik atau antarabangsa tanpa lari daripada paksi asal penubuhannya sejak daripada tahun 1974 lagi.

1. Pemantapan organisasi

Diantara langkah paling awal yang diambil oleh barisan kepimpinan baharu Lembaga Pemegang Amanah YADIM setelah menerima pelantikan adalah dengan mengadakan penstrukturan semula organisasi. Ini adalah bertitik tolak kepada kesedaran bahawa hanya dengan struktur yang diperkukuhkan, YADIM akan mampu untuk mendepani segala cabaran semasa yang dihadapi dalam memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan. Pewujudan lima sektor iaitu Sektor Latihan dan Pengkaderan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita, Sektor Penyelidikan, Penerbitan dan Antarabangsa, Sektor Pengurusan dan Sektor Kewangan adalah langkah untuk mewujudkan pengkhususan tumpuan kepada lima bidang keberhasilan utama yang difikirkan mustahak untuk kejaayan Yayasan ini.

YADIM juga menyedari bahawa usaha pemantapan organisasi hanya akan dapat direalisasikan dengan modal insan yang terbela dari sudut kebajikannya. Selari dengan dasar Kerajaan yang peduli dan prihatin kepada rakyat, YADIM telah mengambil langkah pemulihan kebajikan di kalangan 171 orang kakitangannya yang mengalami beberapa isu serius sebelum ini termasuklah isu kenaikan gaji, elaun kemudahan dan ganjaran yang tidak selaras dengan perkhidmatan awam. Sebagai langkah pengukuhan organisasi selanjutnya YADIM telah memperkenalkan Buku Arahan Pekhidmatan YADIM serta Buku Skim Perkhidmatan YADIM yang akan memastikan perkhidmatan kakitangan YADIM akan diurus secara efisyen selepas ini.

Usaha pengukuhan organisasi ini telah menampakkan natijah yang positif apabila pada Disember 2019, YADIM telah memperolehi pengiktirafan Ketidakpatuhan Sifar (0 NCR) semasa Audit Pengawasan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015. Selain itu, YADIM juga telah menerima pengiktirafan untuk Laporan Penyata Kewangan bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2018 tanpa teguran daripada Juruaudit luar dan ini telah mengesahkan bahawa YADIM telah menyediakan Penyata Kewangan Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2018 dengan wajarnya menurut Piawaian Laporan Entiti Persendirian Malaysia (MPERS) dan keperluan Ordinan Pemegang Amanah (Perbadanan) 1952 di Malaysia. Kejayaan ini menunjukkan Yayasan ini komited melaksanakan gerak kerjanya menurut piawaian dan kaedah yang betul.

2. Peluasan Inisiatif Dakwah

Pada asasnya YADIM telah menerima peruntukan untuk melaksanakan program-program berkaitan dakwah dan kebajikan sebanyak RM4 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi tahun 2019. Daripada peruntukan tersebutt YADIM telah berjaya melaksana sebanyak 21,121 program yang melibatkan seramai 168,502 peserta. Atas pengertian dakwah yang difahami secara luas, YADIM turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kebajikan seperti bantuan pasca banjir, pembaikan kecil rumah-rumah asnaf serta pencucian fasiliti awam. Sebagai contoh bagi musibah banjir 2019, YADIM telah memperuntukan sejumlah RM200,000 bagi membantu mangsa-mangsa banjir di empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Johor dan Sabah yang melibatkan penerima bantuan sekitar 2,800 keluarga. Secara ringkasnya, program YADIM telah meliputi semua negeri di Malaysia sama ada kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan Islam.

Program-program dakwah YADIM dibantu oleh agen-agen dakwah yang terdiri daripada 214 Daie Muda YADIM, 30 Daie Rahmah, 1,782 Rakan Siswa YADIM, dan 720 ahli Sukarelawan Al-Rahmah dari 48 pasukan seluruh negara. Selain itu, bagi memantapkan jentera perancangan dan pelaksanaan YADIM, tiga entiti telah diaktifkan iaitu Nadwah Ulama dan Ilmuan Islam Malaysia (NUIM), Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR).

MAIM merupakan satu majlis yang ditubuhkan bagi menghimpunkan badan-badan bukan kerajaan Islam (NGO) di negara ini selaras dengan objektif penubuhan YADIM iaitu bagi menyelaras NGO Islam di negara ini. Pada tahun 2019, 123 NGO Islam yang bernaung di bawah MAIM dan YADIM telah diberi tanggungjawab menyelaras penyaluran bajet kepada NGO Islam daripada MAIWP dengan dana berjumlah RM2.19 juta yang kemudiannya diagihkan kepada 40 NGO terpilih.

NUIM dan MAWAR pula ditubuhkan dengan tujuan untuk menghimpunkan tenaga dan kepakaran tokoh ulama dan ilmuan Islam dalam pelbagai disiplin ilmu yang akan menjadi kumpulan pemikir dan penasihat kepada YADIM dalam menangani isu-isu yang berkaitan dakwah, pendidikan, sosial dan kebajikan. Dalam hubungan ini, tumpuan khusus bagi MAWAR adalah dalam isu-isu yang berbangkit di kalangan wanita bagi menjadi jurubicara wanita Islam dalam menyuarakan pandangan mengenai dasar dan kedudukan wanita dalam negara dan antarabangsa. Sehingga kini NUIM dianggotai oleh seramai 32 tokoh yang membentuk enam (6) kluster strategik manakala MAWAR pula dianggotai oleh 31 tokoh wanita Islam yang membentuk lima (5) kluster strategik. Selain itu, YADIM turut dibantu 74 orang penyelidik akademik dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi, Agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan dan aktivis dawah yang membantu YADIM dalam penyediaan Pelan Pembangunan Dakwah Negara (PPDN).

3. Pengukuhan Jaringan Antarabangsa

Di peringkat antarabangsa, YADIM telah berjaya melaksanakan program Multaqa Ulama Asia Tenggara (MUAT) pada November 2019 yang dihadiri hampir 875 peserta dari enam negara di rantau Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Brunei dan Kemboja.

Multaqa ini juga telah mencatatkan sejarah apabila turut dihadiri tokoh-tokoh seperti Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Prof Emeritus Tan Sri Dr Kamal Hassan, S. S Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, S.S Datuk Haji Aziz Bungsu @ Aziz Jafar, Prof. Dr Syahrin Harahap dan lain-lain tokoh dari kalangan para ulama, ilmuwan, pimpinan pergerakan Islam, ahli akademik, aktivis dakwah dan mahasiswa dari Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara. Antara resolusi yang dicapai melalui multaqa ini termasuk bersetuju untuk melestarikan jaringan amal Islami di Asia Tenggara melalui penubuhan Sekretariat Dakwah Asia Tenggara (SDAT) yang bertujuan mengukuhkan penyelarasan, pengurusan dan rangkaian kolaborasi di kalangan ulama, ilmuwan, dan para pendakwah Islam di peringkat Asia Tenggara dan diselaraskan oleh YADIM.

YADIM juga telah menjalin kerjasama dengan Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia melalui perjanjian bersejarah yang ditandatangani pada 7 Januari 2020 dalam lawatan Prof Syeikh Dr. Ahmed Abdul Salam Al-Raissouni. Tujuan perjanjian ini ialah untuk kelangsungan dalam pembangunan peradaban unggul bagi melahirkan masyarakat madani, selain mewujudkan eko-sistem dakwah yang mampan. Antara bidang kerjasama yang dipersetujui untuk dilaksanakan bersama ialah pendidikan, dakwah dan penerbitan.

YADIM turut memainkan peranan aktif sepertimana yang telah diamanahkan oleh Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal bidang kerjasama ke-6 iaitu “Memperluas Peranan MABIMS Ke Dunia Luar”. Mesyuarat bersama anggota MABIMS dan negara-negara minoriti muslim dalam rantau Asia Tenggara, serta projek rintis di selatan Thailand bagi memperluas peranan MABIMS ke dunia luar telah dilaksanakan pada tahun 2019 dan menerima respon yang sangat memberangsangkan daripada negara peserta dan berharap agar usaha tersebut dapat dipergiatkan.

4. Kaderisasi kepimpinan muda

Pengkaderan dan latihan pendakwah menjadi antara fungsi utama YADIM yang diberi tumpuan khusus pada tahun 2019 bagi melahirkan para pendakwah dan pemimpin yang berkemahiran serta berpengetahuan dalam menyampaikan ajaran Islam yang sebenar menerusi pelbagai metodologi semasa. Kumpulan sasar yang dilibatkan dalam program latihan dan pengkaderan YADIM merentasi setiap peringkat umur melalui inisiatif Rakan Remaja YADIM (RY) bagi peringkat sekolah menengah dan Rakan Siswa YADIM (RSY) bagi peringkat pengajian tinggi di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh Malaysia. Sehingga kini sebanyak 69 pasukan RSY telah ditubuhkan di peringkat sekolah, manakala sebanyak 76 pasukan RSY di peringkat IPT telah diwujudkan diseluruh Malaysia termasuk Matrikulasi, Politeknik dan Kolej Universiti yang melibatkan seramai 18,146 ahli.

Di samping itu, tumpuan juga diberikan kepada usaha untuk melahirkan kumpulan pendakwah yang berkemampuan dan berkemahiran dalam meperluaskan gerak kerja penyampaian dakwah Islam di Sabah dan Sarawak. Oleh kerana struktur demografi tempatan yang unik bagi kedua-dua negeri tersebut, usaha dakwah perlu dilaksanakan oleh tenaga tempatan yang memahami dan berkemahiran dalam menghadapi kepelbagaian dialek, adat resam serta sensitiviti masyarakat setempat. Sehingga kini YADIM mempunyai seramai 30 orang Dai’e Rahmah di Sabah dan Sarawak. Penyelarasan para Daie Rahmah ini dilakukan melalui Majlis Tindakan Dakwah (MTD) yang ditubuhkan oleh YADIM.

5. Penerbitan Dakwah

YADIM telah berjaya menerbitkan sehingga kini 72 buah buku , 46 edisi Majalah Dakwah dan 6 terbitan Jurnal Umran dan mula menyampaikan dakwah melalui pelbagai platform media digital YADIM termasuk laman web, media sosial dan YADIM TV.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *