Home » Kenyataan Media » Perancangan dan Hala Tuju Yadim Tahun 2020

Perancangan dan Hala Tuju Yadim Tahun 2020

Hala tuju YADIM bertumpu kepada peranan-peranan seperti berikut:

1.            Membangunkan Pelan Pembangunan Dakwah yang komprehensif. YADIM menyedari sehingga kini gerakan dakwah Islam di Malaysia masih tidak mempunyai sebuah blue print yang komprehensif.  Seramai 74 orang pakar penyelidik daripada Ahli Akedemik Institusi Pengajian Tinggi, Agensi Islam, Badan Bukan Kerajaan dan aktivis dakwah yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang masing-masing bagi menjalankan penyelidikan berdasarkan 8 kluster yang telah dibangunkan. Lapan kluster telah diwujudkan adalah Hal Ehwal Agama, Media dan Teknologi, Sosio-budaya dan kekeluargaan, Ekonomi dan kewangan, Undang-undang dan syariah (Tadbir urus), Kesihatan dan Alam sekitar, Pendidikan Dakwah dan Tamadun dan politik. YADIM turut akan mempergiat peranan selaku agensi peneraju dalam  Kluster Dakwah dan Media di bawah Pelan Intervensi Kluster Agensi Agama Persekutuan.

2.            YADIM turut akan menggembeleng usaha untuk mewujudkan wadah kerjasama dakwah antarabangsa. YADIM bercadang untuk menganjurkan Multaqa Ulama Sedunia 2020 sebagai rentetan daripada Multaqa Ulama Asia Tenggara tahun 2019 . Tema multaqa yang dipilih pada kali ini ialah “Kesatuan Strategi Dakwah Ke Arah Keamanan Global” yang menjadi landasan dalam menterjemah ajaran Islam yang sebenar kepada masyarakat Asia Tenggara dan Antarabangsa. Multaqa ini juga menjadi platform kepada para ulama dan sarjana Islam seluruh dunia untuk memperhalusi isu-isu yang telah dibangkitkan dalam KL Summit 2019 serta pelan tindakan yang bersesuaian bagi merealisasikan setiap aspirasi yang dinyatakan. 

3.            Mempelopori inisiatif pengkaderan dan latihan belia kearah melahirkan Tekno Dai’e. YADIM akan mengambil tanggungjawab untuk melatih seramai mungkin golongan belia, yang membentuk 47%  daripada keseluruhan penduduk di negara ini untuk terlibat aktif dalam usaha penyebaran mesej kedamaian dan kebaikan. Ini juga bertitik tolak kepada kesedaran bahawa YADIM perlu mengisi ruang yang telah ditinggalkan oleh agensi-agensi strategik penerangan Kerajaaan yang pernah wujud sebelum ini seperti Biro Tatanegara (BTN) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).  Usaha pengkaderan dan latihan ini akan menyumbang kearah melahirkan golongan belia yang berakhlak mulia dan berketrampilan. Bagi tujuan tersebut, program Daie Muda YADIM (DMY) akan diperkasakan dengan penambahbaikan modul dan jumlah pelatih yang akan terlibat. Penubuhan 100 buah pasukan RRY dan 150 pasukan RSY juga adalah disasarkan di seluruh Institusi Pendidikan Tinggi dan menengah negara yang akan melibatkan jumlah keseluruhan seramai 50,000 ahli.

4.            Kader-kader dakwah yang dilatih ini akan dibentuk untuk menjadi kumpulan bakat kearah melahirkan Tekno Dai’e yang bukan sahaja memiliki ilmu dalam bidang dakwah dan sahsiah yang terpuji, bahkan mempunyai kemahiran untuk membangunkan aplikasi dengan kandungan Islamik dan memanfaatkan teknologi dalam penyebaran dakwah seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0.

5.            Menggalakkan dialog silang budaya dalam negara. Sebagai sebuah negara majmuk, sikap saling memahami, bertolak ansur dan meraikan kepelbagaian menjadi teras kemakmuran dan keamanan bersama. Justeru, wacana dan program yang akan dijenamakan sebagai “Dialog Rahmah” bersama dengan pelbagai kumpulan masyarakat bukan Islam diseluruh negara akan digerakkan bagi memastikan mesej rahmah dan toleran yang menjadi teras ajaran Islam sebenar dapat disuburkan dalam kalangan masyarakat.

6.            Menerajui gerakan kesukarelawanan Islam dan Institusi Keluarga Rahmah. Perkara ini bertitik tolak kepada kesedaran YADIM akan  peri pentingnya institusi keluarga yang mantap dan peranan kesukarelawanan masyarakat dalam membina sebuah negara yang makmur dan berkebajikan. YADIM berhasrat untuk menganjurkan Majlis Anugerah Keluarga Mithali sebagai satu langkah untuk mengiktiraf peranan institusi keluarga dalam melahirkan warganegara yang menyumbang kepada kemajuan negara.

7.            Menubuhkan pasukan Sukarelawan Al-Rahmah di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara selain daripada usaha untuk menempatkan Penggerak Komuniti YADIM bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Ini bagi merancakkan usaha pembelaan kebajikan kepada setiap kumpulan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama selaras dengan gagasan Rahmatan Lil A’alamin

8.            Penganjuran Kembara Rahmah YADIM yang bertujuan mendedahkan kepada umat Islam tentang kedudukan Rahmah dalam al-Quran serta membentuk kefahaman yang sebenar tentang konsep rahmah dalam konteks interaksi sesama manusia. Selain itu, Kembara Rahmah juga turut membersihkan persepsi negatif atau salah faham masyarakat terhadap gagasan Rahmatan Lil alamin yang dibawa oleh Kerajaan Malaysia baharu bermula dari golongan remaja sehingga ke akar umbi.

9.            Pembangunan Aplikasi Pintar Dakwah. Menyedari betapa perkembangan teknologi yang dibawa melalui Revolusi Industri 4.0 akan memberi cabaran yang besar terhadap penyebaran dan penerimaan maklumat, YADIM ingin mengambil langkah proaktif untuk membangunkan Aplikasi khusus dakwah yang memanfaatkan teknologi Internet of Things (IOT), Data Raya (Big Data) dan Kepintaran Buatan (AI). Usaha Pendigitalan Karya Dakwah juga akan dipergiatkan pada tahun ini bagi memperluas capaian umum terhadap karya-karya dakwah yang bermutu.

10.          Pembangunan NGO-i. YADIM mengorak langkah untuk memantapkan pelan pembangunan NGO-i(Islam) yang diterajui oleh Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang merupakan sebuah badan gabungan yang menghimpunkan NGO-NGO Islam dari pelbagai aspirasi dan fikrah yang berteraskan kepada sebuah badan non partisan. Objektif pembangunan NGO-i adalah untuk mengamalkan dan mengembangkan ajaran Islam, memupuk kerjasama pintar dan jaringan dakwah dalam kalangan organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO Islam). Seterusnya, menyalurkan pandangan serta pendapat umum masyarakat kepada pihak kerajaan memimpin pandangan umat Islam dalam isu-isu semasa. Malah, ia juga bertujuan memberi maklum balas yang berkesan kepada permasalahan umat Islam.

11.          Besarlah harapan YADIM agar segala sasaran yang telah dinyatakan ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. YADIM menyedari landskap pemikiran rakyat di Malaysia kini sudah semakin berbeza dengan era terdahulu. Jesteru sebagai salah sebuah Yayasan yang telah bergelumang dengan denyut nadi rakyat sejak dari tahun 1974, YADIM ingin menghulurkan tangan persahabatan yang penuh ketelusan dan kejujuran kepada seluruh rakyat Malaysia yang ikhlas dan komited terhadap pembinaan sebuah negara yang aman, harmoni, maju, progresif dan berkebajikan. Dengan peruntukan yang terhad iaitu hanya sekitar RM4 juta setahun, cita- cita ini dilihat amat mencabar. Jesteru sumbangan dana daripada pihak yang berkemampuan sama ada orang perseorangan, badan korporat dan sebagainya kepada TABUNG INFAQ DAKWAH YADIM amatlah digalakkan. Usaha ini tidak hanya boleh dimainkan oleh satu-satu pihak sahaja bahkan memerlukan paduan sinergi daripada semua pihak sama ada pihak Kerajaan, Swasta, Badan Bukan Kerajaan dan orang perseorangan merentasi sempadan kaum, bangsa, agama dan fahaman. Insha Allah kita berdoa kepada Allah agar Malaysia mampu menjadi sebuah model negara yang baik bukan sahaja di peringkat serantau bahkan di pentas dunia.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *