Home » Langit Terbuka » Penduduk Rohingya terus terseksa

Penduduk Rohingya terus terseksa

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Kira-kira 500 masyarakat Rohingya terbunuh manakala ribuan terseksa dan terus dizalimi hanya dalam masa dua hari ini walaupun penindasan etnik itu mula mendapat perhatian dunia selepas beberapa pihak cuba membantu.

Presiden Persatuan Rohingya di Malaysia, Faridullah Dudumiya berkata, pembunuhan kejam itu berlarutan dan tentera semakin berani melakukan perbuatan ganas tanpa ada perasaan kemanusiaan selepas menerima kunjungan bekas Setia­usaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Anan ke Rakhine, awal bulan ini.

“Saya ba­ru meng­hubungi adik-beradik di sana dan mereka memberitahu, kira-kira 500 penduduk dibunuh dengan kejam dan wanita pula dirogol selepas penindasan itu mendapat perhatian dunia.

“Mereka kini semakin tertekan dan hidup dalam ketakutan, malah terpaksa menyembunyikan diri di kem-kem pelarian kerana bimbang menjadi mangsa rogol tentera, manakala golongan lelaki pula bersembunyi di sawah dan kebun semata-mata mahu mencari bekalan makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebagai aktivis yang aktif di negara ini, beliau berkata, bekalan makanan penduduk juga semakin berkurangan manakala bantuan yang disalurkan kepada penduduk turut disekat di pintu sempadan.

“Penduduk semakin terdesak selepas pintu sempadan ke Bangladesh juga ditutup sehingga ramai yang mati kebuluran termasuk dua ahli keluarga rapat selepas terputus bekalan,” jelasnya.

Sementara itu, wakil Majlis Ulama Rohingya, Abdul Sattar Abdul Gaffar berkata, pihaknya akan terus menyalurkan bantuan kepada penduduk di sana menerusi orang tengah yang boleh dipercayai dan pernah bekerjasama dengan Majlis Ulama Rohingya.

Katanya, bantuan tersebut disa­lurkan bagi membantu mengurangkan beban penduduk termasuk untuk membeli keperluan asas memandangkan musim sejuk akan tiba tidak lama lagi.

“Kita akan terus menghantar bantuan kepada aktivis yang aktif di sana untuk menyerahkan sumbangan itu kepada penduduk di sana yang kini hanya ditempatkan di sebuah padang selepas semua 18 buah kampung telah dibakar oleh tentera,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Abdul Sattar berkata, sumbangan tersebut terpaksa dihantar melalui orang tengah kerana bantuan yang disalurkan menggunakan ‘cara betul’ tidak diagihkan kepada penduduk terjejas, sebaliknya dibuang atau diberikan kepada pihak lain.- https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *