Home » Wacana » Pengajaran dari sebuah kesabaran

Pengajaran dari sebuah kesabaran

Oleh ABDUL RAZAK MAKSUD

Nabi Ayyub terkenal dengan kesabarannya yang tinggi di dalam menghadapi ujian dari Allah. Baginda adalah seorang lelaki yang almost perfect andai hidup pada hari ini. Baginda seorang lelaki yang tampan, sihat dan gagah. Bukan itu sahaja, Baginda juga dikurniai seorang isteri yang solehah lagi setia bernama Rahmah. Bersama Rahmah, Baginda dikurniai 12 orang putera dan puteri yang soleh dan solehah.

Selain berjaya dari sudut peribadi dan keluarga, Nabi Ayyub juga adalah seorang hartawan. Baginda dikurniai harta yang banyak berupa ladang tanaman yang beribu hektar luasnya. Bukan setakat konglomerat sektor perladangan, Baginda juga dikurniai nikmat ternakan yang berjumlah ribuan ekor. Maka ramailah di kalangan umat Nabi Ayyub yang sama-sama merasai nikmat kekayaan Baginda kerana Baginda adalah seorang yang pemurah. Kekayaan dan kejayaan Nabi Ayyub ini meletakkan Baginda sebagai seorang ikon di kalangan umat Baginda. Ini juga menjadi salah satu daya penarik kepada dakwah Baginda.

Meski Baginda hampir perfect sebagai seorang insan, namun Baginda tidak pernah menyombong diri, bahkan Bagindalah manusia paling warak dan banyak bersyukur kepada Allah. Kisah kejayaan Nabi Ayyub ini sangat dicemburui iblis.

Maka suatu hari iblis datang menghadap Allah SWT untuk menyatakan ketidak puasan hatinya terhadap Nabi Ayyub. “Ya Allah, seharusnyalah Ayyub itu banyak bersyukur kepada-Mu memandangkan dia dikurniai dengan banyak kelebihan. Cuba sahaja jika dia itu miskin, sebatang kara atau sakit-sakit, pasti sahaja dia tidak akan pernah bersyukur kepada-Mu,” kata iblis.

“Maka aku memohon agar engkau cabut salah satu nikmat-Mu kepadanya berupa kekayaan. Aku yakin, Ayyub pasti akan berputus asa dan berhenti dari menjadi umat-Mu yang bersyukur,” sambung iblis. Maka Allah mengizinkan iblis menjalankan misinya.

Iblis terus pergi ke ladang Nabi Ayyub. Disebarkannya hembusan berupa racun ke atas tanaman dan ternakan Nabi Ayyub sehingga mati keseluruhannya. Pokok-pokok menjadi layu dan ternakan menjadi kurus. Tidak lama selepas itu, seluruh ladang tanaman dan ternakan Nabi Ayyub menjadi padang jarak padang tekukur. Nabi Ayyub telah jatuh papa dalam masa yang singkat. Tetapi apakah reaksi Nabi Ayyub? Adakah Baginda menjadi putus asa?

Nabi Ayyub tidak langsung mengeluh melihatkan musibah yang menimpanya. Bahkan Baginda terus terusan memuji dan bersyukur kepada Allah. Kerana baginya segala sesuatu itu adalah pemberian Allah dan seharusnyalah sebagai pemilik, Allah berhak mengambil barang milikan-Nya pada bila-bila masa sahaja. Iblis berasa sangat sakit hati terhadap apa yang berlaku, sangkanya setelah jatuh miskin, pastilah Nabi Ayyub akan menjadi sangat kecewa dan berputus asa.

Lalu iblis menghadap Allah semula. Dia memohon agar Allah mencabut nyawa kesemua anak-anak Nabi Ayyub. Pada pendapat iblis anak-anak adalah jantung hati seorang bapa dan kematian anak-anak ini pastilah akan sangat menghancurkan iman dan takwa Nabi Ayyub. Allah perkenankan permohonan iblis dan terus menyatakan bahawa hamba-Nya Ayyub pasti akan terus menjadi hamba yang bersyukur.

Sekonyong kesemua anak Nabi Ayyub telah mati serentak. Bayangkan sahaja menghadapi kematian dua belas orang anak yang soleh dan solehah serentak tanpa ada tanda-tanda sakit, pastilah sahaja menggegar keimanan seorang insan. Tetapi tidak bagi Nabi Ayyub. Baginda tetap tabah dan tunduk bersyukur kepada Allah. Iblis sangat hairan dan datang menemui Nabi Ayyub. “Wahai Ayyub, dahulu engkau ini kaya. Hartamu menimbun dan anakmu ramai. Tetapi kini satu persatu nikmat itu telah dicabut Allah. Tidakkah kau berasa bahawa tuhanmu sedang murka ke atasmu lantas menjatuhkan kaffarah kepadamu? Maka mengapa kamu masih mahu sujud bersyukur kepada tuhanmu?”.

“Aku beriman kepada Allah kerana aku adalah hamba-Nya, bukan kerana yang lain,” jawab Nabi Ayyub.

Iblis berasa sangat marah. Kali ini dia menemui Allah untuk memohon agar ditimpakan sakit ke atas Nabi Ayyub. Kerana selain kemiskinan, manusia pasti akan goyah imannya apabila diuji dengan sakit. Allah mengizinkan permohonan iblis dan tetap menyatakan bahawa Nabi Ayyub akan kekal menjadi hamba yang bersyukur.

Selang beberapa ketika, Nabi Ayyub diserang sejenis penyakit ganjil. Badannya menjadi kurus dan kulitnya ditumbuhi kudis. Perubahan mendadak fizikal Nabi Ayyub menjadi bualan penduduk kota. Mereka berasa pelik dengan penyakit yang menimpa Nabi Ayyub bimbang ianya akan menulari seluruh penduduk. Maka mereka berpakat mengusir Nabi Ayyub dari kota. Mengusir manusia yang dahulunya tidak putus membantu mereka ketika susah dan menunjukkan mereka akhlak terpuji.

Maka pada suatu hari, Nabi Ayyub telah keluar dari rumahnya bersama Rahmah, isteri yang setia. Mereka melarikan diri ke dalam hutan yang jauh dari penempatan manusia. Nabi Ayyub sangat bersyukur kerana masih ditemani isterinya walau keadaan fizikalnya yang lemah dan berpenyakit. Baginda tidak pernah putus bersyukur kepada Allah apatah lagi mengeluh dan berputus asa.

Kekuatan iman Nabi Ayyub sangat menyakitkan hati iblis. Lantas iblis mengatur rencana menghasut Rahmah, isteri Nabi Ayyub. Iblis menjelmakan dirinya dalam sosok seorang lelaki tua.

“Puan, aku sangat kasihan melihatkan nasibmu. Dahulu engkau punya segalanya, harta yang banyak, suami yang berpengaruh dan dihormati serta anak-anak yang ramai. Tetapi hari ini, lihatlah sahaja keadaanmu. Terpunduk di tengah hutan, diusir oleh kaummu sendiri, papa kedana dan sebatang kara. Engkau mintalah suamimu berdoa kepada Allah agar dikembalikan segala nikmat yang pernah diturunkan kepadanya. Semoga sahaja engkau kembali seperti dahulu,” pujuk iblis. Iblis berhelah agar Nabi Ayyub sekurang-kurangnya menyalahkan takdir dan berhenti bersyukur.

Rahmah terpedaya dengan helah iblis. Dia menemui Baginda dan merayu agar suaminya itu berdoa dilepaskan dari segala ujian yang getir ini. Nabi Ayyub berasa sedih dan marah. Kepada Rahmah Baginda berkata: “Wahai isteriku, selama ini engkau rapat dan setia kepadaku. Aku menyangka engkau mengerti dakwah dan peganganku bahawa segala sesuatu yang berlaku itu adalah takdir tulisan Allah. Kerana sesungguhnya takdir Allah adalah yang terbaik buatku. Tetapi hari ini engkau menyuruhku memohon Allah mengubah tulisan takdir itu? Hanya kerana engkau tidak tahan dipandang hina manusia lain?” Rahmah tertunduk.

“Mulai hari ini pergilah engkau dari sisiku dan aku bernazar andai suatu hari nanti engkau kembali kepadaku, maka aku akan menghukummu dengan seratus sebatan,” sambung Nabi Ayyub.

Maka tinggallah Baginda keseorangan setelah ditinggalkan Rahmah. Baginda terus-terusan beribadat kepada Allah dan sentiasa bersyukur. Iblis berasa sangat hairan terhadap tahap kesabaran Nabi Ayyub. Tidak pernah dia bertemu dengan insan setabah Ayyub. Akhirnya iblis pergi menghadap Allah. “Ya Allah, sesunguhnya aku berasa hairan terhadap hamba-Mu, Ayyub. Tidak pernah aku bertemu manusia sesabarnya. Dia diduga dengan kekayaan, pengaruh dan keluarga tetapi masih teguh bersyukur kepada-Mu. Pada hari ini aku gagal menggoda dan menyesatkan hamba-Mu yang satu ini,” iblis menyerah kalah.

“Bukankah telah aku katakan bahawa engkau akan mendapati Ayyub itu hamba yang banyak bersyukur,” firman Allah.

Setelah iblis pergi, Allah telah memerintahkan malaikat Jibril untuk menemui Nabi Ayyub. Melalui Jibril, Nabi Ayyub disuruh menghentakkan kakinya ke bumi dan terpancarlah mata air. Dari mata air tersebut Nabi Ayyub disuruh minum dan mandi. Segala suruhan itu dilakukan oleh Nabi Ayyub. Dan kini Baginda beransur sihat seperti sediakala, bahkan Baginda menjadi lebih tampan dari yang dahulunya.

Nabi Ayyub telah berjaya menghadapi ujian ke atasnya dengan cemerlang. Kita Baginda pulang ke kota mencari isterinya, Rahmah. Rahmah seakan tidak mengenali lagi suaminya dek kerana perubahan yang berlaku ke atas Nabi Ayyub. Dia kembali hidup bersama Nabi Ayyub.

Pada kali ini Allah mengurniakan harta yang lebih banyak daripada dahulu. Juga Allah mengurniakan anak yang lebih ramai. Di kalangan anak-anak Nabi Ayyub, Allah angkat seorang daripadanya sebagai Rasul iaitu Nabi Zulkifli.

Lihatlah balasan di atas kesabaran seorang hamba. Allah tidak menguji kita kerana Dia membenci kita. Tetapi Allah menguji kerana Dia mahu memberi kita sesuatu yang lebih baik, kerana kesudahan yang baik adalah bagi mereka yang bersyukur. Juga harus diingat, ketika kita diuji dengan kehilangan, kematian dan kekurangan, dipandang hina dan dipulaukan, bertawakallah kepada Allah. Sentiasa beringat ke atas nikmat-nikmat lain yang masih banyak. Semoga hati kita terdidik untuk terus bersyukur.

Para sahabat Rasulullah akan berasa sedih dan gundah andai terus-menerus sihat dan cukup keperluan mereka. Pada mereka Allah tidak menguji kerana Allah sudah melupai mereka. Mereka akan berasa bersyukur andai diuji dengan kesakitan, kesempitan mahupun kelaparan. Kerana tanda Allah peduli dengan hamba ialah ketika kita diuji. Oleh itu, bersyukurlah atas ujian. Teruskan bertawakal kerana kita secara fitrahnya lebih mudah bersyukur ketika kita diuji.- MAJALAH DAKWAH

Abdul Razak Maksud ialah Setiausaha, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor

 

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *