Home » Langit Terbuka » Pengasingan Peranan Peguam Negara Elak Cetus Konflik Kepentingan

Pengasingan Peranan Peguam Negara Elak Cetus Konflik Kepentingan

PROFESOR Madya Dr Anisah Che Ngah (kiri), Profesor Datin Dr Faridah Jalil (dua kiri), ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (tiga kiri), Azhar Harun (dua kanan) dan Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal (kanan) pada Pasca PRU14, Menghormati Semangat dan Peruntukan Perlembagaan di UKM Bangi.

BANGI – Pengasingan kuasa Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan pada masa sama menjalankan tugas Ketua Pendakwa Raya, perlu demi mengelak konflik kepentingan.

Selain itu, ia perlu bagi mengukuhkan kebebasan pendakwaan di pihak kerajaan.

Pengamal undang-undang, Azhar Harun, berkata pengasingan kuasa itu akan memastikan Peguam Negara hanya bertindak menasihati kerajaan mengenai perundangan, manakala perkara berkaitan pendakwaan di pihak kerajaan dilakukan oleh Ketua Pendakwa Raya.

“Pengasingan kuasa atau pembahagian kuasa secara tidak rasmi pernah dibuat sebelum ini iaitu ketika Tan Sri Abu Talib Othman menjadi Peguam Negara yang membahagikan tugas di antara beliau dan Ketua Pendakwa Raya.

“Pada masa itu, semua kes berkaitan jenayah dilakukan Peguam Negara, manakala Ketua Pendakwa Raya membuat pendakwaan berkaitan kes sivil,” katanya ketika program Bicara Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14): Menghormati Semangat dan Peruntukan Perlembagaan.

Program berlangsung di Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, turut menampilkan ahli panel lain termasuk Pensyarah Fakulti Undang-undang, UKM, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Pensyarah Fakulti Undang-Undang UKM, Profesor Datin Dr Faridah Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mohktar.

Azhar berkata, pada masa ini Peguam Negara mempunyai dua peranan berasingan dan berbeza iaitu sebagai penasihat undang-undang utama kepada kerajaan dan Pendakwa Raya bagi pihak kerajaan.

Sebagai Pendakwa Raya, Peguam Negara sepatutnya bertindak secara bebas dan tidak berat sebelah demi memastikan kepentingan awam, selain tidak dipengaruhi sebarang pengaruh pertimbangan politik.

Azhar berkata, konflik kepentingan dilihat boleh tercetus jika Peguam Negara turut memegang peranan sebagai Ketua Pendakwa Raya.

Bagaimanapun, katanya, pengasingan kuasa berkenaan hanya boleh dilakukan menerusi pindaan Perlembagaan dengan mendapat majoriti dua pertiga persetujuan dalam Parlimen.

“Jadi, untuk menunggu perkara ini dilakukan secara pindaan Perlembagaan mungkin agak sukar, memandangkan kerajaan yang memerintah sekarang tidak memiliki undi majoriti dua pertiga.

“Namun Peguam Negara yang baharu dilantik, Tommy Thomas, boleh berbuat demikian dengan melakukan reformasi dalam pembahagian fungsi tugas,” katanya.

Mengenai pertikaian pelantikan Peguam Negara bukan dari kalangan bangsa Melayu dan beragama Islam, Azhar berkata, tidak ada keperluan untuk memenuhi dua kriteria berkenaan berikutan Perlembagaan Persekutuan sudah jelas menyebut Peguam Negara tidak mempunyai kuasa terhadap Mahkamah Syariah.

“Bagaimanapun Perlembagaan adalah undang-undang buatan manusia dan jika majoriti tetap mahukan Peguam Negara perlu dilantik dalam kalangan mereka yang beragama Islam, perkara itu sebenarnya boleh ditukar menerusi pindaan Perlembagaan.

“Tugas Peguam Negara hanyalah sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan berkuasa untuk memulakan prosiding jenayah terhadap sesiapa sahaja, kecuali membabitkan prosiding di Mahkamah Syariah, “katanya.

Sementara itu, Mohd Fakhrulrazi berkata, Perlembagaan Persekutuan negara ini dilihat cukup unik dan adalah yang terbaik dalam memelihara keamanan negara yang kekal sehingga hari ini.

“Buktinya, sejak merdeka Perlembagaan sedia ada memastikan keamanan yang berkekalan walaupun pernah wujud peristiwa seperti rusuhan kaum 13 Mei, tetapi ia dapat diselesaikan dengan cepat tanpa berlarutan,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang sedia ada hanya wajar dipinda mengikut keperluan semasa, manakala kuasa rakyat dilihat semakin penting dalam menentukan semak dan imbang pentadbiran sesebuah kerajaan. – BERITA HARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *