Home » Langit Terbuka » Pengeluaran sijil halal dunia diseragam

Pengeluaran sijil halal dunia diseragam

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Persidangan Halal Sedunia 2018 Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal mewujudkan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa bagi menyeragamkan pengeluaran sijil halal dunia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia akan dilaksanakan oleh Majlis Halal Malaysia dengan menyatukan semua badan halal seluruh dunia.

“Sebagai peneraju industri halal global, Majlis Halal Malaysia mempunyai perancangan besar termasuk menubuhkan Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa.

“Menerusi penubuhan itu, proses pengeluaran sijil halal dapat diseragamkan di peringkat dunia dan kita juga dalam proses menubuhkan Akademi Penyelidikan Halal Antarabangsa yang pertama di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Halal Sedunia 2018 Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Persidangan dua hari bermula hari ini bertemakan ‘Hala Tuju Ekonomi Seterusnya’ itu dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sempena Minggu Halal Sedunia 2018.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia sudah menyiapkan rangka kerja menerusi Pelan Induk 2.0 untuk pembangunan industri halal negara sehingga 2030.

Katanya, pelan induk itu perlu dilaksanakan segera kerana banyak perkembangan pantas berlaku dalam industri itu.

“Kita tidak mahu menunggu sehingga 2020 yang mana pelan induk sebelum ini tamat bagi memperkenalkan perancangan baharu.

“Visi industri halal Malaysia seterusnya akan selari dengan visi Malaysia 2030 untuk pembangunan lebih mampan.

“Sasaran Malaysia ialah mengukuh dan mempelbagaikan industri halal tempatan dengan menyediakan ekosistem lebih komprehensif, sekali gus mengekalkan perkembangan pesat industri halal tempatan dan mengubahnya kepada penyumbang ekonomi utama untuk Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK),” katanya.

Pelan Induk Industri Halal Malaysia yang pertama dirancang dari 2008 hingga 2020 dan sejak pelancarannya, industri halal Malaysia berkembang pesat.

Sehingga Disember tahun lalu, Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju hab halal global dengan nilai eksport tahunan berjumlah RM43 bilion dan menarik pelaburan bernilai RM13.3 bilion di Taman Halal HALMAS. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *