Home » Langit Terbuka » Pengganas bukan mewakili mana-mana agama

Pengganas bukan mewakili mana-mana agama

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), berkata media Barat selama ini hanya menumpukan berita insiden keganasan dengan merujuk kepada agama Islam semata-mata, dan ia tidak adil kepada umatnya di seluruh dunia. - Foto Wall Street Journal

KUANTAN: Takrif pengganas yang digunakan kebanyakan media Barat dengan merujuk kepada agama tertentu, perlu didefinisikan semula bagi mengelakkan kekeliruan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh, berkata media Barat selama ini hanya menumpukan berita insiden keganasan dengan merujuk kepada agama Islam semata-mata, dan ia tidak adil kepada umatnya di seluruh dunia.

“Walaupun kita boleh menganggap bahawa sikap mereka (media Barat) adalah untuk mencipta persepsi negatif terhadap agama Islam, sudah sampai masanya kita melihat semula dan memberi definisi lebih tepat terhadap mana-mana pihak atau individu yang melakukan keganasan.

“Tidak ada agama memberi kebenaran untuk penganutnya melakukan perbuatan yang boleh mencetuskan huru-hara, apatah lagi keganasan terhadap orang lain. Sebenarnya, pengganas ini bukan mewakili mana-mana agama pun.

“Apa berlaku di Christchurch, New Zealand, semalam, melambangkan tindakan orang yang ‘sakit’ dan bukan mewakili agama. Tindakan menjadikan tempat ibadat sasaran (melakukan serangan) adalah perbuatan sangat tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Methodist, Kuantan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua sekolah itu, Haniza Hashim, dan Pengerusi Persatuan Alumni, Suzana Mohd Suboh.

Sekurang-kurang 49 mangsa terkorban dalam serangan ganas tembakan disasarkan terhadap umat Islam di dua masjid di Christchurch, semalam.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, insiden seumpama itu boleh dielakkan jika semua pihak mengambil dua pendekatan, iaitu mengenal pasti potensi ancaman dan melakukan pencegahan awal, serta memperkenalkan tindakan atau hukuman berat terhadap individu dan kumpulan cenderung dalam aktiviti menjurus kepada keganasan.

“Walaupun kita melihat insiden di sana (Christchurch) berkemungkinan besar tidak akan berlaku di Malaysia, kita tidak boleh memandang ringan terhadap ancaman dan perkembangan fahaman ekstremis atau radikal yang cuba masuk ke sini.

“Ada pihak tertentu juga cuba menjadikan perbezaan agama dan kaum di negara ini sebagai satu isu, perkara ini perlu dihentikan kerana kita bimbang ia boleh mencetus perasaan kurang senang dan akhirnya menimbulkan perselisihan faham antara rakyat pelbagai kaum serta agama di negara ini,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *