Home » Langit Terbuka » Pengundi muda jangan hanya rujuk TikTok

Pengundi muda jangan hanya rujuk TikTok

Dr Zulkifli berpandangan penyertaan di sesi rapat umum dan ceramah membolehkan pengundi muda menerima maklumat melalui pertanyaan serta perbualan dengan pengundi lebih senior daripada pelbagai parti. - Foto FB

KUALA LUMPUR – Seramai 6.9 juta pengundi baharu berusia 18 hingga 20 tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dinasihatkan supaya tidak hanya bergantung aplikasi TikTok atau carian di internet untuk menilai calon di kawasan masing-masing.

Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi catatan di Facebook, menyarankan golongan berkenaan hadir ke sesi rapat umum dan ceramah semua calon daripada pelbagai parti yang bertanding.

Ini kerana, katanya, masih ramai pengundi baru kabur dalam hal pengundian, selain menyifatkan penyertaan di sesi rapat umum dan ceramah membolehkan golongan berkenaan menerima maklumat melalui pertanyaan serta perbualan dengan pengundi lebih senior daripada pelbagai parti.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan turut mengakui tertarik dengan kesungguhan segelintir golongan muda yang juga pengundi kali pertama membuat penelitian menerusi internet dan di aplikasi TikTok untuk menilai calon dan parti yang perlu diundi.

“Secara idealnya, kita mahukan pemimpin yang terbaik untuk kita dan masa depan generasi kita. Namun demikian, secara realistiknya ia umpama memilih antara dua kelemahan.

“Pilihlah yang lebih ringan atau kurang kelemahannya, asalkan mereka berjaya membuktikan kesungguhan mengutama dan memperkukuh ekonomi, mensejahterakan rakyat dan memelihara agama.

“Selamat berkempen dan selamat mengundi,” katanya.

Beliau juga berpandangan peranan pengundi muda amat luas, selain tidak menafikan kemungkinan landskap politik negara boleh berubah berikutan gelombang dicetuskan golongan itu, terutama di aplikasi Twitter dan Tiktok.

“Orang muda ada biasanya tersendiri, cuma mereka tidak boleh selesa dengan ‘fyp’ di Tiktok semata-mata kerana pengundi luar bandar sudah pun menzahirkan kuasa mereka dalam PRU-14.

“Islam memberikan ruang luas untuk demokrasi namun sudah pasti ia datang dengan beberapa syarat. Demokrasi adalah natijah daripada perjuangan yang panjang untuk meraih kebebasan dan hak.

“Kebebasan dan hak ini juga menjadi asas kepada politik Islam yang mengangkat tema hak dan kebebasan sesuai dengan syariat-Nya,” katanya. – Berita Harian

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *