Home » Langit Terbuka » Penjawat awam serah elaun selama 3 bulan untuk Akaun Amanah Bencana

Penjawat awam serah elaun selama 3 bulan untuk Akaun Amanah Bencana

Sumbangan kakitangan awam ini adalah tanda kebersamaan mereka dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19. - Foto Majalah Labur

PETALING JAYA – Penjawat awam bagi Gred 29 hingga Gred 56 akan menyerahkan sebahagian elaun mereka selama tiga bulan sebagai manifestasi solidariti kepada tindakan menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan dalam memerangi pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali berkata, elaun berkenaan adalah Imbuhan Tetap Kerajaan (ITK) bagi pengurusan tertinggi Gred 44 hingga Gred 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 4.

“Sumbangan dari lebih 800,000 penjawat awam yang dianggarkan berjumlah RM30 juta itu akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya memahami penjawat awam khususnya sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan.

“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19.

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga,” katanya.

Katanya, Jusa A dan ke atas, kadar sumbangan adalah 50% manakala Jusa B (20%) dan Jusa C (10%) sementara Gred 44 hingga Gred 56, kadar sumbangan elaun adalah 5% membabitkan elaun ITK.

Bagi Gred 29 hingga 41, kadar sumbangan elaun adalah sebanyak RM10 membabitkan ITKA.

“Surat edaran dan perincian pelaksanaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya. – FMT

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *