Home » Citra Yadim » Penutup SPIKEM di Universiti Islam Selangor (UIS)

Penutup SPIKEM di Universiti Islam Selangor (UIS)

SEMINAR Peradaban Islam dan Ketamadunan Malaysia (SPIKEM) keenam telah berlangsung pada 9 November dengan jayanya di di Universiti Islam Selangor (UIS).
Disertai seramai 300 peserta terdiri daripada pelajar dan kakitangan universiti berkenaan, ia disempurnakan perasmiannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar yang mewakili Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia merupakan anjuran YADIM dengan kerjasama UIS yang mengetengahkan gagasan Malaysia Madani melalui tema ‘Kesukarelawan Membangun Modal Insan Masyarakat Madani’.
Tema kesukarelawanan dipilih berdasarkan kepada kepentingan dan keperluan semasa yang memacu dalam pembangunan negara.
Seminar dimulakan dengan forum yang mengetengahkan isu ‘Sukarelawan Masyarakat: Peranan dan Cabaran’ yang dibarisi panel Pensyarah Kanan UIS, Dr. Muhammad Yusof Marlon Abdullah, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman dan Presiden IKRAM Haji Badlishah Sham Baharin. Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Ustaz Zamri Zainal Abidin pula merupakan moderator forum.
Program kemudiannya diteruskan dengan bicara tokoh dengan tajuk ‘Kesukarelawan Membangun Modal Insan Masyarakat Madani’ disampaikan oleh Mufti Negeri Selangor Darul Ehsan, Y.A.D Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir dan Dr. Halim Moktar, Pensyarah UIS selaku moderator.
Ketika membaca teks Perdana Menteri dalam sesi perasmian, Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im berkata, kesukarelawan memberi implikasi penting terhadap pembinaan modal insan negara.
Sumbangan kesukarelawanan terhadap pembangunan modal insan negara meliputi ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi pendidikan, kebudayaan, kemasyarakatan, bandar dan luar bandar.
Tambahnya, semangat kesukarelawanan dan bantu membantu perlu ada dan dipupuk dalam diri setiap Muslim agar jiwa terdidik dengan sifat simpati dan ihsan, masyarakat menjadi harmoni dan nilai keprihatinan dan kasih sayang menjadi subur.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dalam ucapannya pula berkata, penganjuran SPIKEM ini merupakan inisiatif YADIM dalam menyebarluas gagasan Malaysia Madani yang merupakan pemangkin kepada peradaban dan ketamadunan yang holistik.
YADIM ujarnya telah bekerjasama dengan Insitusi Pengajian Tinggi dalam penganjuran SPIKEM antaranya Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti, Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang dan UIS.
Jelasnya, seramai 1700 orang mahasiswa dan pensyarah telah terlibat dari siri satu hingga enam dalam menjayakan SPIKEM.
Terdahulu Naib Canselor UIS, Dato’ Prof. Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dalam ucapannya memberitahu, sebagai sebuah entiti pendidikan tinggi Islam, UIS sentiasa teguh menjadi peneraju tradisi ilmu ke arah usaha pembudayaan ilmu agama yang berterusan.
Beliau menambah, usaha meningkatkan pengetahuan dan penghayatan mahasiswa terhadap peranan sukarelawan dakwah dan khidmat masyarakat sentiasa subur demi memastikan kejayaan dan kelangsungan dakwah di jalan Allah SWT dalam sebuah masyarakat dan negara yang aman.
Turut diluncurkan dalam program ini ialah buku “Manual Panduan Pengurusan Kesularelawanan Dakwah Masyarakat” yang diterbitkan oleh YADIM hasil daripada penyelidikan di bawah Kluster Dakwah dan Pendidikan, YADIM Research Management Centre (YRMC) iaitu sebuah Badan Khas di bawah Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj, Ahli Lembaga Pemegang Amanah merangkap Jawatankuasa Khas Penyelidikan Dakwah YADIM.
SPIKEM di UIS ini turut menerima penyertaan Sukarelawan YADIM Sabak Bernam yang hadir diketuai Pengerusinya, Puan Hasnah Johari.
Penganjuran di UIS ini menandakan berlabuhnya tirai SPIKEM untuk tahun ini.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *